RAUB. 6 Jun 2017 bersamaan 11 Ramadan 1438H – “Kebajikan imam dan pegawai masjid sentiasa dibela di mana kenaikkan kadar elaun mereka dikaji dari masa ke masa. Setiap masjid akan diwujudkan sebuah koperasi yang dianggotai oleh imam, bilal dan siak. Satu yayasan juga disaran untuk ditubuhkan yang akan ditadbir urus oleh salah satu agensi kerajaan bagi menghasilkan imbuhan pada setiap tahun atau 6 bulan sekali dan kerajaan negeri dapat menyediakan sebidang tanah yang boleh dimajukan supaya menjadi aset”, titah Kebawah Duli Yang Maha Mulia Pemangku Raja Pahang, Tengku Mahkota Tengku Abdullah Al-Haj Ibni Sultan Haji Ahmad Shah Al-Musta’in Billah di Majlis Perasmian Masjid Jamek Cheroh Dan Berbuka Puasa Serta Pengurniaan Sumbangan Kepada Golongan Yang Memerlukan. Keberangkatan baginda diiringi Kebawah Duli Yang Teramat Mulia Tengku Puan Pahang, Tunku Hajjah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah Binti Almarhum Almutawakkil Alallah Sultan Iskandar Al-Haj.

Titah baginda lagi “Pembinaan ‘Rumah Allah’ bagi meningkatkan syiar Islam di negeri Pahang. Kita hendaklah mengetahui sejarah kedatangan Islam di Pahang menerusi kesultanan terdahulu, mufti-mufti dan para ulama yang memperkukuhkan serta menyebarkan agama Islam”. Sebagai Yang Dipertua Majlis Ugama Islam Pahang, baginda mengambil berat berkenaan perkembangan Islam dengan terbinanya lebih 600 lebih buah masjid yang dianggotai oleh lebih 3,000 imam, bilal dan siak yang dilantik.

Baginda merasmikan masjid dengan berkenan menamakannya Masjid Tengku Abdullah Al-Haj Kampung Melayu Cheroh. Pembinaan masjid yang mengambil masa 65 minggu untuk disiapkan menelan belanja RM1.22 juta mampu memuatkan 200 orang jemaah.

Pada majlis itu, baginda dan KDYTM Tengku Puan Pahang berkenan mengurniakan sumbangan wang tunai dan hamper dari Majlis Ugama Islam Dan Adat Resam Melayu Pahang kepada 245 orang asnaf dan pelajar tahfiz berjumlah RM63 ribu.

Hadir sama, YDH Orang Kaya Indera Pahlawan, Dato’ Sri Wan Haji Abdul Wahid bin Haji Wan Hassan, YAB Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Diraja Haji Adnan bin Haji Yaakob, YB Pengerusi Jawatankuasa Koperasi, Keusahawanan dan Kepenggunaan Negeri, Dato’ Sri Haji Shahiruddin bin Ab. Moin serta pemimpin-pemimpin setempat.