ROMPIN.10 Jun 2017 bersamaan 15 Ramadan 1438H – Kebawah Duli Yang Maha Mulia Pemangku Raja Pahang, Tengku Mahkota Tengku Abdullah Al-Haj Ibni Sultan Haji Ahmad Shah Al-Musta’in Billah berkata usaha berterusan dilakukan Koperasi Serbausaha Makmur Berhad (Kosma) sehingga kekal bertahan selama 50 tahun wajar dipuji. Baginda berkata, Kosma ditubuhkan pada tahun 1967 sewaktu nenda baginda Almarhum Sultan Abu Bakar bersama kepimpinan negeri ketika itu dengan matlamat utama menjaga hal ehwal kebajikan pegawai kerajaan negeri Pahang.

“Sepanjang ia beroperasi pasti ada cabaran yang datang, tetapi ia mampu diselesaikan dengan penuh kebijaksanaan. Kita tidak boleh lari dari masalah dan perlu atasi sebaik mungkin.

“Ahli lembaga pada masa dulu dan kini berjaya bawa Kosma ke tahap yang membanggakan sekarang ini dan ia harus dicontohi khususnya agensi kerajaan dan anak syarikat berkaitan urusan perladangan dan ada kepentingan kepada masyarakat”, titah baginda pada Majlis Perasmian Kompleks Kosma dan Masjid Tengku Mahkota Pahang Tengku Abdullah di Ladang Kosma Keratong 9, dekat sini hari ini.

Turut hadir, YDH Orang Kaya Indera Pahlawan, Timbalan Yang Dipertua Majlis Ugama Islam Dan Adat Resam Melayu Pahang, Dato’ Sri Wan Haji Abdul Wahid bin Haji Wan Hassan, YAB Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Diraja Haji Adnan bin Haji Yaakob, Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri Pahang, Dato’ Sri Haji Ishak bin Haji Muhamad, YB Pengerusi Jawatankuasa Dakwah Islamiah dan Tugas-Tugas Khas Negeri, Dato’ Syed Ibrahim bin Syed Ahmad serta YBhg. Pengerusi Kosma, Datuk Seri Abdul Jabbar Ibrahim.

Sementara itu, baginda turut menyuarakan keprihatinan terhadap masalah terkini yang sedang melanda iaitu keperluan tenaga pekerja yang sukar diperoleh.

“Saya berharap masalah pekerja di ladang kelapa sawit Kosma ini dapat diatasi dan menasihatkan agar organisasi seperti Kosma ini ada perancangan jangka masa panjang.

“Isu tenaga pekerja dan peningkatan kos selenggara yang meningkat boleh diatasi dengan usaha secara kolektif.

“Organisasi perlu ganding bahu dengan syarikat besar melalui jaringan hubungan sedia ada untuk membeli atau membuat tempahan barang yang diperlukan dengan harga lebih murah agar kos perbelanjaan mampu dikawal secara efektif”, titah baginda.

Baginda berkata, tidak ada guna jika organisasi memiliki ladang besar tapi gagal dalam hal ehwal pentadbiran dan penyelenggaraan.

Dalam pada itu, baginda turut menyampaikan ucapan penghargaan kepada Kosma kerana saban tahun tampil menyerahkan zakat ke Majlis Ugama Islam Dan Adat Resam Melayu Pahang sekaligus usaha murni berkenaan dapat membantu lebih ramai golongan yang memerlukan. Baginda juga berkenan mengurniakan sumbangan wang tunai berserta hamper kepada 182 orang asnaf berjumlah RM47, 320.00.