PEKAN. 13 Jun 2017 bersamaan 18 Ramadan 1438H – Kebawah Duli Yang Teramat Mulia Tengku Puan Pahang, Tunku Hajjah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah binti Almarhum Almutawakkil Alallah Sultan Iskandar Al-Haj berkenan bercemar duli berangkat ke Program Malam Sejuta Rahmat di perkarangan Muzium Masjid Sultan Abdullah, dekat sini hari ini.

Baginda diiringi bersama paduka anakanda, Yang Mulia Tengku Puteri Afzan Aminah Hafizatullah binti Tengku Mahkota Tengku Abdullah berkenan menyempurnakan pengurniaan sumbangan kepada 622 orang asnaf, pelajar tahfiz serta anak yatim dari daerah Pekan dan Kuantan.

Majlis anjuran Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wanita dan Keluarga, Komunikasi dan Multimedia Negeri, YB Dato’ Hajjah Shahaniza binti Shamsuddin dengan kerjasama Kembara Sufi Group of Companies. Pihak Majlis Ugama Islam Dan Adat Resam Melayu Pahang turut bersama-sama menyediakan sumbangan wang tunai kepada penerima.

Pengarah Urusan Kembara Sufi, Al Fadzil Khidzir berkata, program berkenaan merupakan rentetan kembara amal yang dianjurkan pihaknya dalam bersama-sama membela golongan yang kurang bernasib baik.

“Usaha ini dijalankan sepanjang tahun cuma pada bulan Ramadan ini ia lebih bermakna apabila kita dapat membantu anak-anak ini mendapatkan persediaan raya melalui sumbangan yang diberikan. Kita sendiri akan meneruskan aktiviti amal di mana pada minggu hadapan seramai sepuluh buah keluarga di Temerloh dipilih untuk menerima bantuan hari raya,” katanya.

Hadir sama, Yang Amat Mulia Tengku Besar Pahang, Tengku Kamil Ismail bin Tengku Idris Shah, Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri Pahang, Dato’ Sri Haji Ishak bin Haji Muhamad, YB Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal FELDA Negeri, Dato’ Abu Bakar bin Haji Harun serta YH Pengarah Lembaga Muzium Negeri Pahang, Dato’ Ahmad Farid bin Abd Jalal.