PEKAN. 17 Jun 2017 bersamaan 22 Ramadan 1438H – Kebawah Duli Yang Maha Mulia Pemangku Raja Pahang, Tengku Mahkota Tengku Abdullah Al-Haj Ibni Sultan Haji Ahmad Shah Al-Musta’in Billah bertitah mengingatkan anggota Askar Wataniah khususnya seluruh umat Islam kewajipan membayar zakat fitrah dan juga zakat harta masing-masing sebelum berakhirnya bulan Ramadan.

“Wang zakat yang dibayar itu pastinya memberi ‘cahaya’ kepada golongan asnaf yang akan menerimanya dan pada masa yang sama harta kita diberkati Allah”, titah baginda pada Majlis Berbuka Puasa Bersama Pegawai dan Anggota Askar Wataniah di Kem Force 136, Rejimen 505 Askar Wataniah, Sungai Miang, dekat sini, hari ini.

Terdahulu, ketika memulakan titah diraja, baginda mengajak semua hadirin sama-sama sedekahkan surah Al-Fatihah kepada dua wira negara, Allahyarham Mejar Yazmi bin Dato’ Mohamed Yusof, 39 dan Mejar Mohd. Hasri bin Haji Zahari,31 yang terkorban semasa menjalani latihan lanjutan jet pejuang Hawk 108, milik Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM), Khamis lalu.

“Sama-sama kita berdoa semoga roh mereka ditempatkan bersama-sama orang beriman,” titah baginda.

Mengiringi baginda, Kebawah Duli Yang Teramat Mulia Tengku Puan Pahang, Tunku Hajjah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah binti Almarhum Almutawakkil Alallah Sultan Iskandar Al-Haj serta paduka anakanda, Yang Amat Mulia Tengku Amir Nasser Ibrahim Shah, Yang Mulia Tengku Puteri Afzan Aminah Hafizatullah dan Yang Mulia Tengku Puteri Jihan Azizah ‘Athiyatullah.

Baginda selaku Komander Rejimen 505 (AW) turut menzahirkan perasaan terkilan kerana tidak dapat melakukan aktiviti bersama-sama disebabkan faktor kesibukan dan kecederaan yang dialami, namun begitu baginda berjanji akan kembali aktif memenuhi komitmen terhadap perkembangan Rejimen 505.

Pemangku Raja Pahang mengharapkan selepas Ramadan dan meraikan hari raya, Rejimen 505 mempergiatkan aktiviti bagi merekrut pegawai dan pelatih baharu untuk memenuhi KPI 450-500 orang menyertai Askar Wataniah.

Tegas baginda, sejumlah 285 anggota yang ada pada hari ini ianya tidak mencukupi.

“Justeru itu, atas kekurangan ini kerjasama setiap batalion dan kerajaan negeri untuk mengadakan ‘Program Jihad’ bagi bersama-sama membantu orang-orang kampung memperbaiki dan membersihkan masjid, surau, sekolah agama dan juga tahfiz sepanjang setahun ini”.

“Menerusinya, kita dapat mempamerkan fizikal Rejimen 505 seterusnya dapat memikat hati penduduk kampung disamping mencungkil bakat anak-anak muda untuk menganggotai Rejimen 505″, titah Pemangku Raja Pahang.

Mengakhiri titah, baginda mewakili paduka ayahanda, KDYMM Sultan Pahang serta keluarga mengucapkan selamat meneruskan ibadah puasa dan mengucapkan Selamat Hari Raya kepada semua anggota Rejimen 505.

Sebaik menyempurnakan titah, baginda menyampaikan pengurniaan sumbangan kepada 100 orang asnaf dan duit raya bagi meraikan 50 orang kanak-kanak yang hadir sama dalam majlis itu.

Hadir sama, YAB Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Diraja Haji Adnan bin Haji Yaakob, Timbalan Yang Dipertua Majlis Ugama Islam Dan Adat Resam Melayu Pahang,YDH Orang Kaya Indera Pahlawan, Dato’ Sri Wan Haji Abdul Wahid bin Haji Wan Hassan, YB Yang DiPertua Dewan Undangan Negeri Pahang, Dato’ Sri Ishak bin Mohammed, YB Setiausaha Kerajaan Negeri Pahang, Dato’ Sri Muhammad Safian bin Ismail, YB Ahli Dewan Undangan Negeri Peramu Jaya, Dato’ Sri Sh Puzi bin Sh Ali. Yang Berbahagia Brig. Jeneral Dato’ Md Din bin Haji Abu dan Timbalan Komander Nazri serta Pegawai-pegawai Rejimen 505 Askar Wataniah.