PEKAN. 6 Julai 2017 bersamaan 12 Syawal 1438H – Kebawah Duli Yang Maha Mulia Pemangku Raja Pahang, Tengku Mahkota Tengku Abdullah Al-Haj Ibni Sultan Haji Ahmad Shah Al-Musta’in Billah berangkat bercemar duli di Majlis Pelancaran Pembinaan Kolej Kediaman Mawaddah dan Sambutan Hari Raya Aidilfitri di Universiti Malaysia Pahang Kampus Pekan dengan diiringi Kebawah Duli Yang Teramat Mulia Tengku Puan Pahang, Tunku Hajjah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah binti Almarhum Almutawakkil Alallah Sultan Iskandar Al-Haj. Baginda berkenan menyaksikan penyerahan sumbangan kepada UMP bagi tujuan pembinaan Kolej Kediaman Mawaddah oleh Majlis Ugama Islam Dan Adat Resam Melayu Pahang keseluruhannya berjumlah RM410,915.00 (RM10,915.00 adalah hasil kutipan melalui sistem Dana Wakaf Pahang di ewakaf.muip.gov.my).

Majlis Ugama Islam Pahang diwakili oleh YDH Orang Kaya Indera Pahlawan, Timbalan Yang Dipertua MUIP, Dato’ Sri Wan Haji Abdul Wahid bin Haji Wan Hassan.
Baginda selaku Tuanku Yang Dipertua MUIP bertitah, “Konsep wakaf adalah satu perkara yang memang digalakkan oleh Majlis Ugama Islam Pahang kepada umat Islam menunaikan tanggungjawab berwakaf. Ini kerana ‘investment’ menerusi wakaf akan dapat manfaat apabila kita meninggal. Konsep wakaf diharap dapat diperluaskan lagi di negeri ini supaya boleh membantu golongan yang memerlukan. Terima kasih kepada UMP dan MUIP kerana mengambil inisiatif mewujudkan kolej kediaman seperti ini.”

Baginda kemudiannya berkenan menyempurnakan Majlis Pelancaran Pembinaan Kolej Mawaddah. Pembinaan kolej ini merupakan satu-satunya kolej berkonsepkan wakaf di Malaysia setakat ini.

Kolej Kediaman Mawaddah adalah inisiatif oleh UMP-MyGift dengan kerjasama MUIP dilihat satu langkah yang baik dalam membantu golongan berkenaan. Pihak MUIP meluluskan permohonan wakaf kepada UMP untuk melaksanakan kutipan wakaf pada September 2016. Tujuan pembinaan kediaman ini diwujudkan untuk memberi perlindungan kepada mahasiswa UMP dalam kalangan anak yatim dan asnaf. Langkah proaktif ini direalisasikan memandangkan terdapat pelajar yang mempunyai masalah jewangan serta kos sewa rumah yang semakin meningkat dari tahu ke tahun yang perlu ditanggung oleh pelajar. Pembinaan dibangunkan di atas sebidang tanah seluas 2.0 ekar di UMP Kampus Pekan, Kuala Pahang dengan kos berjumlah RM5 juta. Pembinaan dijadualkan pada 2017 dan dijangka siap pada 2018 yang akan memberi manfaat kepada 220 orang mahasiswa.

Hadir sama, YBhg. Pengerusi Lembaga Pengarah UMP, Datuk Seri Mohd Hilmey Mohd Taib, YH Naib Canselor UMP, Prof. Dato’ Dr. Daing Nasir Ibrahim dan YH Ahli Lembaga Pengarah UMP, Dato’ Ahmad Azmey Abu Talib.