TEMERLOH. 7Julai 2017 bersamaan 13 Syawal 1438H – Keberangkatan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Pemangku Raja Pahang, Tengku Mahkota Tengku Abdullah Al-Haj Ibni Sultan Haji Ahmad Shah Al-Musta’in Billah bercemar duli di Majlis Sambutan Hari Raya Aidilfitri anjuran UMNO Bahagian Temerloh yang berlangsung di Dataran Datuk Bahaman, Lanchang. Mengiringi baginda, Kebawah Duli Yang Teramat Mulia Tengku Puan Pahang, Tunku Hajjah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah binti Almarhum Almutawakkil Alallah Sultan Iskandar Al-Haj serta paduka-paduka anakanda Yang Mulia Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Ibni Tengku Mahkota Tengku Abdullah Al-Haj, Yang Mulia Tengku Muhammad Iskandar Ri’ayatuddin Shah dan Yang Mulia Tengku Ahmad Ismail Muadzam Shah.

Baginda beramah mesra dengan tetamu-tetamu yang hadir dalam majlis tersebut. Dalam majlis berkenaan juga, turut diadakan pengurniaan sumbangan bagi meraikan bakal-bakal jemaah haji. Kanak-kanak yang hadir diraikan dengan pengurniaan duit raya.

Hadir sama YB Ahli Dewan Undangan Negeri Lanchang, Dato’ Sri Haji Mohd. Shakar bin Haji Shamsudin, ketua-ketua jabatan serta orang ramai sekitar kawasan Lanchang.