MARAN. 7 Julai 2017 bersamaan 13 Syawal 1438H – “Para belia dan pelajar tidak mengambil ringan berkenaan perpaduan di sekeliling kita. Jangan terlampau asyik dan tunduk kepada teknologi moden semata-mata, namun begitu hendaklah melihat kepada perpaduan dan keamanan. Kerana, daripada perpaduan mengalir pelbagai nikmat antaranya nikmat keselamatan, keamanan dan kemakmuran,” ucapan yang disampaikan oleh Yang Mulia Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Ibni Tengku Mahkota Tengku Abdullah Al-Haj mewakili paduka bondanya, Kebawah Duli Yang Teramat Mulia Tengku Puan Pahang yang tidak dapat berangkat di Majlis Malam Mesra Aidilfitri DUN Kuala Sentul. Majlis diadakan bertempat di Dataran Dewan Semai Bakti Jengka 3 meriah dengan kehadiran orang ramai sekitar kawasan Kuala Sentul.
Yang Mulia Tengku Hassanal menyampaikan salam daripada KDYMM Sultan Pahang, KDYMM Pemangku Raja Pahang serta KDYTM Tengku Puan Pahang kepada seluruh warga DUN Kuala Sentul. “Syukur dipanjatkan ke hadrat Allah SWT dengan limpah rahmatNya mengurniakan Aidilfitri untuk diraikan setelah umat Islam berjaya menyempurnakan ibadah puasa di bulan Ramadan. Justeru itu jangan lupa untuk mensyukuri nikmat ini. Kerana jika disyukuri nikmat akan kekal, namun sebaliknya akan hilang.”

YM Tengku Hassanal juga mengingatkan para hadirin “Bersyukur menjadi rakyat Malaysia yang terdiri daripada berbagai ugama dan bangsa namun dapat hidup bersama-sama aman dan damai. Sesuai dengan bendera Pahang ‘hitam dan putih’ semuanya sama adalah ciptaan Allah. Mestilah hidup bersama-sama aman dan makmur sesuai dengan ungkapan ‘Darul Makmur’. Semoga aman dan harmoni akan berkekalan di negeri Pahang Darul Makmur.”

Hadirin yang hadir di majlis tersebut berkesempatan beramah mesra dengan YM Tengku Hassanal. Mereka dijamu juadah enak hari raya serta dihiburkan dengan persembahan tarian oleh pelajar Sekolah Felda Ulu Jempol dan nyanyian daripada kumpulan nasyid Rabbani.

YM Tengku Hassanal diiringi YB Ahli Parlimen Maran, Dato’ Haji Ismail bin Haji Abd Muttalib dan YB ADUN Kuala Sentul, Dato’ Hajah Shahaniza binti Shamsuddin menyampaikan sumbangan daripada Kerajaan Negeri Pahang kepada Rekreasi dan Kebajikan JKM (RM8,700.00) serta Pertubuhan Kebajikan Pesakit Ichthyosis Malaysia (RM5,000.00). Turut diadakan acara potong kek dan sumbangan duit raya kepada kanak-kanak.

Hadir sama, YB Exco Negeri Pahang, Pegawai Daerah Maran, Pengarah RTM Pahang, Pengarah Penerangan Pahang, Ketua-ketua Jabatan, Kepemimpinan UMNO Bahagian Maran dan rakan media.