PEKAN 9 Julai 2017 bersamaan 15 Syawal 1438H – Kira-kira 50,000 rakyat daripada pelbagai lapisan menghadiri majlis rumah Terbuka Aidilfitri Perdana Menteri, Dato’ Sri Haji Mohd Najib bin Tun Haji Abdul Razak yang diadakan Dataran Taman Tasik Sultan Abu Bakar, di sini hari ini.    Mereka yang membanjiri majlis itu bukan sahaja datang dari daerah Pekan, tetapi juga luar daerah dan negeri Pahang yang datang seawal 8 pagi bagi menunjukkan sokongan padu di atas kepimpinan Dato’ Sri Najib yang juga Ketua Umno Bahagian Pekan.

Turut berangkat bercemar duli ke majlis rumah terbuka berkenaan ialah Kebawah Duli Yang Maha Mulia Pemangku Raja Pahang, Tengku Mahkota Tengku Abdullah Al-Haj Ibni Sultan Haji Ahmad Al-Musta’in Billah.

Turut mengiringi paduka anakanda baginda, Yang Mulia Tengku Muhammad Iskandar Ri’ayatuddin Shah dan YAM Tengku Muda Pahang, Tengku Abdul Rahman Al-Haj dan isteri, Cik Puan Muda, Dato’ Sri Julita Aishah binti Abdul Latiff.

Hadir sama isteri Perdana Menteri Datin Seri Rosmah binti Mansor, Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Diraja Hajj Adnan bin Haji Yaakob, Yang DiPertua Dewan Undangan Negeri Pahang, YB Dato Sri Ishak bin Muhammad dan Isteri, Timbalan Menteri Sumber Manusia, Dato’ Sri Haji Ismail bin Muttalib dan isteri, Ahli-Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri dan Ahli-Ahli Dewan Undangan Negeri Pahang.

Lebih 100 gerai makanan dan minuman disediakan kepada tetamu yang hadir termasuk pelbagai hidangan tradisional Pekan seperti laksa Pekan, opor daging, lemang, ketupat, rendang, puding raja dan kuih suji.

Tetamu yang hadir turut dihiburkan dengan persembahan nyanyian daripada artis-artis terkenal tanah air seperti Datuk Mohd Syed Sobri, Azie, Faradhia, Nash, Ameng Spring dan Datuk Ramli Sarip.