KUANTAN. 6 Ogos 2017 bersamaan 13 Zulkaedah 1438H – Majlis santapan sempena Hari Keputeraan Kebawah Duli Yang Teramat Mulia Tengku Puan Pahang, Tunku Hajjah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah binti Almarhum Almutawakkil Alallah Sultan Iskandar Al-Haj lebih bermakna dengan kehadiran YAB Perdana Menteri, Dato’ Sri Mohd Najib Tun Abdul Razak dan isteri, Datin Sri Rosmah Mansor. Majlis istimewa yang berlangsung secara santai di Istana Abdulaziz malam tadi itu turut menyaksikan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Pemangku Raja Pahang, Tengku Mahkota Tengku Abdullah Al-Haj Ibni Sultan Haji Ahmad Shah Al-Musta’in Billah berkenan bercemar duli menyampaikan titah ucapan selamat hari lahir dan doa agar kebahagiaan sentiasa mengiringi baginda dan isteri.

Baginda ketika bertitah turut menghargai kehadiran Dato’ Sri Mohd Najib dan isteri walau sedia maklum dengan kesibukan tugas beliau selaku pemimpin nombor satu negara.

“Terima kasih kepada semua yang hadir malam ini meraikan sambutan Hari Keputeraan isteri saya. Bukan selalu dapat anjur majlis seperti ini. Isteri saya (Tengku Puan Pahang) menghabiskan masa selama 48 jam di dapur menyediakan kek-kek istimewa dan enak  yang disediakan pada malam ini.

“Kehadiran Perdana Menteri hari ini memberi ruang kami meluangkan banyak masa bersama. Kami berjumpa dari pagi ketika saya merasmikan Kolej Universiti Tunku Abdul Rahman kemudian bermain golf dan saya sempat memandu sendiri untuk bawa PM tinjau KotaSas,” titah baginda.

Sambutan Hari Keputeraan KDYTM Tengku Puan Pahang tahun ini lebih manis apabila KDYMM Pemangku Raja Pahang mengampuni perkenan mendendangkan sebuah lagu istimewa dendangan asal kumpulan Kopratasa berjudul “Permata Buat Isteri” khas ditujukan kepada isteri baginda.

Antara kerabat diraja yang hadir memuliakan Majlis Santapan Malam Sempena Ulang Tahun Hari Keputeraan KDYTM Tengku Puan Pahang, Yang Amat Mulia Tengku Muda Pahang, Yang Amat Mulia Tengku Muda Pahang Tengku Abdul Rahman Al-Haj Ibni Sultan Haji Ahmad Shah Al-Musta’in Billah dan Cik Puan Pahang, Dato’ Sri Julita Aishah binti Abdul Latiff, Yang Amat Mulia Tengku Arif Bendahara Pahang Tengku Abdullah Ibni Al-Marhum Sultan Abu Bakar dan Isteri, Yang Amat Mulia Tengku Puteri Seri Lela Wangsa Pahang Tengku Tan Sri Hajjah Meriam binti Sultan Haji Ahmad Shah Al-Musta’in Billah dan Yang Amat Mulia Tengku Besar Pahang Tengku Kamil Ismail bin Tengku Idris Shah dan isteri.

Manakala tetamu lain yang hadir antara Yang Amat Berhormat Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Diraja, Haji Adnan bin Haji Yaakob dan Isteri, Menteri Pengangkutan, Yang Berhormat Dato’ Seri Liow Tiong Lai, Timbalan Menteri Sumber Manusi, Dato’ Haji Ismail bin Haji Mutalib dan Isteri, YDH Orang Kaya Indera Pahlawan Dato’  Sri Haji Wan Abdul Wahid bin Haji Wan Hassan dan Setiausaha Kerajaan Negeri, Yang Berhormat Dato’ Sri Haji Muhammad Saffian bin Ismail dan isteri.

Turut sama hadir, Tokoh Korporat, Yang Berbahagia Tan Sri Vincent Tan, Yang Berbahagia Dato’ Sri Adam Sani, Presiden Persatuan Bekas-Bekas Wakil Rakyat (MUBARAK), Yang Berbahagia Tan Sri Haji Abdul Aziz bin Abdul Rahman, Exco-Exco Kerajaan Negeri, Ketua-Ketua Jabatan, Pegawai-Pegawai Kanan Jabatan Perdana Menteri dan isteri masing-masing.