KUANTAN 8 Ogos 2017 Bersamaan 15 Zulkaedah 1438 H – Yang Amat Berhormat Perdana Menteri Malaysia, Dato’ Sri Mohd Najib bin Tun Abdul Razak meluangkan masa hadir di Majlis Taklimat Pembangunan Kota Sultan Ahmad Shah (KotaSAS) di sini, Sabtu lalu. Turut hadir bersama Perdana Menteri, Yang Berhormat Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Diraja Haji Adnan bin Haji Yaakob, Yang Amat Mulia Tengku Muda Pahang, Tengku Abdul Rahman Ibni Sultan Haji Ahmad Shah Al-Haj.

Majlis taklimat ringkas tersebut di sampaikan oleh Pengarah Eksekutif KotaSAS, Yang Mulia Tengku Amir Nassir Ibrahim yang diadakan di bilik khas di Istana Abdulaziz. Kebawah Duli Yang Maha Mulia Pemangku Raja Pahang, Tengku Mahkota Tengku Abdullah Al-Haj Ibni Sultan Haji Ahmad Shah Al-Musta’in Billah dan Kebawah Duli Yang Teramat Mulia Tengku Puan Pahang, Tunku Hajjah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah binti Almarhum Almutawakkil Alallah Sultan Iskandar Al-Haj turut bercemar duli mendengar taklimat yang disampaikan khusus kepada pemimpin nombor satu negara itu.

Isteri Perdana Menteri, Yang Amat Berbahagia Datin Paduka Seri Hajjah Rosmah Mansor turut bersama di sepanjang majlis tersebut. Hadir sama semasa majlis taklimat ialah Ahli-Ahli Lembaga Pengarah dan Pengurusan KotaSAS. KotaSAS yang berada di kawasan strategik antara Bandar Kuantan dan Lebuhraya Pantai Timur akan muncul sebagai bandar baru Kuantan dalam tempoh beberapa tahun lagi. Pejabat Pentadbiran Kerajaan Negeri juga turut akan berpindah ke KotaSAS sebaik Komplek Pusat Pentadbiran yang sedang rancak dalam pembinaan siap dalam tempoh tiga tahun.

Selain daripada itu, KotaSAS pastinya akan menjadi pusat pertumbuhan ekonomi apabila stesen Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) siap dibina di kawasan tersebut menjelang 2024. Projek laluan ECRL melalui koridor dari Kelantan ke Selangor termasuk melalui stesen utama Kuantan di Pusat Bandar KotaSAS. YAB Perdana Menteri telah memilih KotaSAS untuk Majlis Pecah Tanah dan Pelancaran Projek Pembinaan ECRL jam 9 pagi esok.