KUANTAN 11 Ogos 2017 Bersamaan 18 Zulkaedah 1438 H – Kebawah Duli Yang Maha Mulia Pemangku Raja Pahang, Tengku Mahkota Tengku Abdullah Al-Haj Ibni Sultan Haji Ahmad Shah Al-Musta’in Billah berkenan bercemar duli hadir pada Majlis Malam Anugerah Belia Negeri Pahang 2017 sekaligus meraikan kecemerlangan mereka melalui pengurniaan anugerah kepada belia-belia cemerlang di negeri ini. Acara yang berlangsung di Dewan Cashmere, The Zenith Hotel itu menyaksikan sebanyak 16  kategori anugerah dipertandingkan melibatkan  individu, persatuan serta kelab belia di negeri Pahang selain satu Anugerah Belia Kategori Khas Diraja.

Pada acara berkenaan, Tengku Abdullah bertitah agar pemimpin di negara ini agar sentiasa bersama membimbing golongan belia supaya mereka mampu menjadi pelapis pemimpin negara serta insan yang berupaya menyumbang kepada kesejahteraan dan kemajuan negara. Baginda bertitah ia penting kerana golongan belia pada masa kini berhadapan dengan pelbagai cabaran yang lebih getir berikutan era modenisasi berbanding generasi terdahulu.

“Oleh itu, pemimpin belia perlu dibimbing agar mereka menjadi insan berguna dan mampu menyumbang kepada negara baik dari segi ekonomi mahupun sosial.

“Belia mempunyai tenaga dan semangat yang kuat untuk berjaya dan mencipta kegemilangan. Hal ini, kerana golongan ini memang terkenal dengan semangat dan cita-cita tinggi serta mempunyai azam yang kuat dan terus maju setanding belia-belia di luar negara.

“Saya mahu melihat golongan belia sekarang menjadi lebih berjaya berbanding dahulu kerana tiada maknanya kita memerintah negara tetapi golongan belianya bercelaru,” titah baginda merasmikan Majlis Malam Anugerah Belia Peringkat Negeri Pahang 2017 di sini malam tadi.

Hadir sama pada majlis berkenaan, Menteri Besar Pahang Dato’ Sri Diraja Haji Adnan bin Haji Yaakob, Pengerusi Jawatankuasa Belia dan Sukan Negeri Pahang, Datuk Mohd Johari Hussain, Yang Berhormat, Yang Dipertuan Dewan Undangan Negeri, Dato’ Haji Ishak bin Mohammad dan Setiausaha Kerajaan Negeri Pahang Datuk Seri Muhammad Safian Ismail. Turut memuliakan keberangkatan Pemangku Raja Pahang, Exco-exco Kerajaan Negeri, Pengarah Jabatan Belia dan Sukan Pahang dan ketua-ketua jabatan.

Dalam pada itu, Tengku Abdullah bertitah pendekatan menzahirkan penghargaan atas kecemerlangan dan sumbangan golongan belia kepada masyarakat juga perlu disemarakkan bagi membakar semangat mereka untuk terus berusaha.

“Seingat saya dahulu ada anugerah pingat Hang Tuah yang diberikan kepada belia di negara ini, saya bangga apabila melihat mereka menerima anugerah tersebut, tetapi sekarang sudah tiada…adakah kita lupa tentang hal ini dan kenapa kita tidak berusaha untuk menghidupkannya kembali?,” titah baginda.

Baginda bertitah, golongan belia di negara ini juga seharusnya merasa bertuah kerana tidak dipinggirkan oleh kerajaan apabila diberikan wadah untuk mencorakkan masa depan negara pasca 2020 melalui wacana Transformasi Nasional 2050 (TN50) yang digagaskan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.

“Belia patut bangga kerana kerajaan mengiktiraf kemampuan golongan muda dalam merancang strategi menjadikan Malaysia kekal sebagai negara berdaya saing tinggi.

“Golongan belia hari ini dilihat mempunyai banyak input yang sesuai untuk diketengahkan bagi membangunkan negara ini di bawah pemantauan kerajaan memacu negara terus ke hadapan,” titahnya.