KUANTAN 11 Ogos 2017 Bersamaan 18 Zulkaedah 1438 H – Penerima Anugerah Belia Kategori Khas Diraja, Mohd Nasuha Shamsuddin, 25, yang merupakan pendaki Gunung Everest termuda negara menzahirkan rasa terharu dengan penghargaan yang diberikan oleh kerajaan negeri Pahang kepada beliau. Anak ketiga daripada enam adik-beradik berasal dari Felda Tersang Tiga, Raub itu berkata penghargaan itu akan menjadi pendorong untuk melakar lebih banyak kejayaan bagi mengharumkan nama negeri Pahang khasnya.

“Tinggi harapan agar pencapaian yang dicatat ini dapat menjadi contoh serta dorongan kepada golongan belia untuk mencapai kecemerlangan dalam kehidupan mereka sekaligus menyumbang sesuatu yang bermakna kepada masyarakat.

“Kesungguhan, tekad serta iltizam yang tinggi perlu dipahat di dalam hati selain menunjukkan displin serta komitmen tinggi dalam melaksanakan sesuatu dalam hidup ini,” katanya ketika ditemui selepas Majlis Malam Anugerah Belia Peringkat Negeri Pahang 2017 di Dewan Cashmere, The Zenith Hotel dekat sini.

Anugerah julung kali itu disempurnakan oleh Kebawah Duli Yang Maha Mulia Pemangku Raja Pahang, Tengku Mahkota Tengku Abdullah Al-Haj Ibni Sultan Haji Ahmad Shah Al-Musta’in Billah yang berkenan bercemar duli berangkat hadir pada Majlis Anugerah Belia Negeri (ABN) yang turut menyaksikan 16 lagi kategori anugerah dipertandingkan melibatkan  individu, persatuan serta kelab belia di negeri Pahang.

Berkongsi pengalaman getir sehingga berjaya sampai ke puncak tertinggi dunia pada tanggal 21 Mei 2013, Nasuha yang juga tercatat namanya sebagai pendaki termuda negara di dalam Malaysia Book of Records berkata, perkara pertama yang perlu ‘dikorbankan’ oleh beliau ialah tempoh satu semester pengajian peringkat Diploma Sukan di UiTM Pahang.

“Saya terpaksa menangguhkan pengajian bagi menjalani latihan intensif selama tujuh bulan di Majlis Sukan Negara (MSN) Bukit Jalil termasuk melalui semua tahap pemilihan dan latihan mendaki gunung seperti Gunung Kinabalu sebanyak dua kali, Gunung Labuche dan Gunung Island Peak yang terletak di Banjaran Himalaya.

“Selepas berjaya melalui semua latihan yang ditetapkan bagi ekspedisi yang dikenali sebagai ‘Demi Negara Everest 2013′ itu, saya bersama enam lagi rakan pendaki dari Kelab Eksplorasi Tujuh Benua Malaysia (KE7B) nekad membawa misi menakluk bumbung dunia itu,” katanya.

Menurut penerima Anugerah Khas Daya Juang Peringkat Negeri Pahang sempena Hari Belia Negeri Pahang 2013 dan Pingat Jasa Kebaktian (P.J.K) dari Kerajaan Negeri Pahang pada tahun sama ini, kejayaannya sudah pasti datang dari redha Ilahi serta ibu bapa, Shamsuddin Mohd Rosli, 60, dan Noresah Zakaria, 52, yang tidak putus mengirim doa agar dia sentiasa dilindungi Allah SWT sepanjang melangsai misi.

Turut bergelar Ikon Belia Negara, Ikon Belia Felda dan Ikon UiTM, Nasuha berkata perjalanan dia dan rakan seperjuangan diduga pelbagai ujian dan paling tidak dilupakan ialah bekalan makanan kumpulan mereka hilang ketika berada di Camp 3 pada ketinggian 7400m.

“Kami tidak dapat makan nasi yang menjadi makanan utama dan hanya bergantung kepada makanan ringan yang ada seperti kismis, kurma kekacang, biskut dan segelas air sebelum meneruskan pendakian selama 13 jam pada keesokan harinya.

“Saya juga diserang penyakit ‘Khumbu cough’ iaitu batuk yang sangat teruk sehingga menyebabkan bengkak di bahagian sebelah kanan dada sejak berada di basecamp, malah ubat yang dimakan juga tidak berjaya memulihkan penyakit itu kerana berada dalam situasi persekitaran berbeza (pergunungan berais).

“Walau rasa perit namun dugaan itu tidak pernah mematahkan semangat juang saya dan rakan-rakan untuk meneruskan perjalanan dan menjadi pendaki pertama sampai kepuncak Gunung Everest yang berketinggian 8,848 meter (29,028 kaki) dari paras laut (dpl) pada pukul 8.31 pagi waktu Nepal, 21 Mei empat tahun lalu,” katanya.

Kongsinya lagi, penyakit yang dialami menyebabkan dia tidak dapat mengalunkan azan dengan baik ketika tiba di puncak namun rasa syukur, gembira, terharu dan kagum dengan kebesaran Yang Maha Esa tidak mampu digambarkan dengan kata-kata.

“Saya berharap pengalaman yang dikongsi dapat menguatkan semangat dan tekad para belia dalam mencapai apa jua keinginan, hasrat, cikta-cita mahupun impian murni yang tertanam di sanubari.

“Keazaman yang tinggi mampu mendorong kita untuk berjaya dalam sesuatu usaha yang kita lakukan malah lebih bermakna apabila sesuatu kejayaan yang dicapai mampu memberi sumbangan kepada agama, bangsa dan negara,” akhirinya.