PEKAN 19 Ogos 2017 bersamaan 26 Zulkaedah 1438H – Kebawah Duli Yang Maha Mulia Sultan Haji Ahmad Shah Al-Musta’in Billah Ibni Al-Marhum Sultan Abu Bakar Ri’ayatuddin Al-Muadzam Shah bercemar duli berangkat ke Istiadat Persandingan cucunda baginda, pasangan Yang Mulia Tengku Dato’ Indera Madina Kamalia binti Tengku Besar Tengku Kamil Ismail dan Yang Berbahagia Muhammad Fadhil bin Dato’ Muhammad.

Mengiringi baginda, Duli Yang Maha Mulia Sultanah Hajjah Kalsom dan paduka anakanda Yang Amat Mulia Tengku Arif Temenggong Pahang Tengku Fahd Mua’adzam.

Turut bercemar duli, Kebawah Duli Yang Maha Mulia Pemangku Raja Pahang, Tengku Mahkota Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah Al-Haj Ibni Sultan Haji Ahmad Shah Al-Musta’in Billah dan Kebawah Duli Yang Teramat Mulia Tengku Puan Pahang, Tunku Hajjah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah binti Almarhum Almutawakkil Alallah Sultan Iskandar Al-Haj, Yang Amat Mulia Tengku Muda Pahang Tengku Abdul Rahman Al-Haj Ibni Sultan Haji Ahmad Shah Al-Musta’in Billah, Yang Amat Berbahagia Cik Puan Bahiyah binti Mohd Akib.

Antara tetamu lain, Tuan Yang Terutama Yang Dipertua Negeri Melaka, Tun Mohd Khalil Bin Yaakob, Duli Yang Amat Mulia Raja Puan Muda Perak, Tunku Soraya binti Al-Mutassim Billahi Muhibbuddin Tuanku Al-Haj Abdul Halim Mu’adzam Shah dan Yang Teramat Mulia Tunku Panglima Besar Kedah, Brigader Jeneral Tunku Puteri Intan Shafinaz Binti Sultan Abdul Halim.

Istiadat yang bermula dengan perarakan masuk ‘Raja Sehari’ menaiki pelamin ditengah-tengah  Dewan Mulia Istana Abu Bakar.

Istiadat Persandingan dan merenjis air mawar dimulakan dengan upacara menyuap pulut adap-adapan oleh paduka bonda pengantin perempuan, Yang Amat Mulia Tengku Puteri Seri Lela Wangsa Pahang Tengku Tan Sri Hajjah Meriam binti Sultan Haji Ahmad Shah Al-Musta’in Billah.

Manakala KDYMM Sultan Pahang mendahului adat istiadat merenjis air mawar dan meletakkan panca bicara di atas kepala kedua pengantin.

Turut merenjis air mawar keatas pasangan pengantin, Sultanah Pahang, Pemangku Raja Pahang, Tengku Puan Pahang, Tengku Muda Pahang dan isteri Cik Puan Bahiyah, Tun Khalil, Dato’ Sri Haji Adnan dan isteri, Raja Perempuan Muda Perak, Tengku Fahd, Tunku Puteri Intan Shafinaz, Yang Amat Mulia Tengku Arif Bendahara Pahang, Tengku Abdullah Ibni Sultan Abu Bakar dan Isteri, paduka ayahanda pengantin perempuan, Yang Amat Mulia Tengku Besar Pahang, Tengku Kamil Ismail bin Tengku Idris Shah dan isteri serta ibu dan bapa pengantin lelaki.

Mengakhiri Istiadat persandingan pengantin diraja ialah bacaan doa yang dipimpin oleh Sahibus Samahah Mufti Negeri Pahang, Yang Berbahagia Dato’ Sri Dr. Haji Abdul Rahman bin Haji Osman.

Sebaik selesai bacaan doa, Sultan Pahang dan tetamu-tetamu diraja diikuti pasangan pengantin beredar ke meja santapan bagi Majlis Santapan dan Makan Malam yang turut dihadiri kira-kira 1,500 orang tetamu termasuk kaum kerabat dan keluarga kedua pengantin.

Pasangan Yang Mulia Tengku Dato’ Indera Madina Kamalia dan Yang Berbahagia Encik Muhammad Fadhil diijabkabul dalam Istiadat Hantaran Mahar dan Akad Nikah yang berlangsung di Dewan Utama, Istana Abu Bakar, malam semalam.