KUANTAN. 20 Ogos 2016 bersamaan 26 Zulkaedah 1438H – Kebawah Duli Yang Maha Mulia Pemangku Raja Pahang, Tengku Mahkota Tengku Abdullah Al-Haj Ibni Sultan Haji Ahmad Shah Al-Musta’in Billah bercemar duli berangkat Ke Majlis Perasmian Multaqa Ilmuwan dan Profesional Pahang di Dewan Astana, Hotel Grand DarulMakmur disini, semalam.

Keberangkatan baginda diiringi paduka anakanda, Yang Mulia Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah.

Multaqa tahun ini bertemakan ‘Peranan Ilmuwan dan Profesional Pahang Dalam Memangkin Kelestarian Dakwah dan Pembangunan Ummah’ disertai seramai 250 orang profesional di kalangan anak-anak Pahang sama ada daripada agensi kerajaan mahupun badan bukan kerajaan.

Penganjuran multaqa merupakan kerjasama Majlis Dakwah Negara (MDN), Majlis Ugama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang, Yayasan Pahang, Universiti Teknologi MARA (UiTM) Cawangan Pahang dan Kolej Universiti Islam Pahang Sultan Ahmad Shah (KUIPSAS).

Kebawah Duli Yang Maha Mulia Pemangku Raja Pahang bertitah, penganjuran multaqa ini tidak hanya berakhir dalam bentuk seminar dan perbincangan dalam dewan ini sahaja, tetapi harus direalisasikan dalam bentuk wahdatul amal (kesatuan gerak kerja dan tindakan) agar semua pihak dapat menggembleng tenaga dan kepakarannya untuk membina kesatuan ummah menerusi pendekatan bermuafakat.

Baginda mengucapkan tahniah dan terima kasih kepada Majlis Dakwah Negara (MDN), Yayasan Pahang, Universiti Teknologi MARA Cawangan Pahang serta Kolej Universiti Islam Pahang (KUIPSAS) yang berkerjasama menagambil inisiatif menghimpunkan para ilmuwan dan profesional kalangan anak-anak Pahang pada persidangan multaqa kali ini.

Titah baginda, Multaqa ini bagi memberi ruang dan wadah kepada peserta untuk memberi buah fikiran serta cadangan-cadangan membina ke arah memakin kelestarian dakwah dan pembangunan ummah di negeri ini.

Baginda turut mengalu-alukan kehadiran para peserta yang merupakan anak-anak Pahang yang terdiri daripada pelbagai latar belakang pendidikan dan profesional, antaranya pensyarah di Institusi Pengajian Tinggi Awam dan Swasta, pegawai pengurusan dipelbagai sektor, awam dan swasta, guru-guru dan pemimpin-pemimpin pertubuhan bukan kerajaan.

“Para ilmuwan dan ahli profesional yang bijak pandai sewajarnya memainkan peranan penting mengikut kepakaran, bidang dan kebolehupayaan masing-masing untuk berbakti kepada Agama dan Tanah Air sendiri agar keilmuan dan kemahiran masing-masing diukur berasaskan kepada ketinggian darjat ilmu dan profesionalisme semata-mata, sebaliknya ianya hendaklah dibuktikan dengan amal bakti menerusi pengorbanan masa, tenaga, wang ringgi dan buah fikiran untuk kepentingan ummah dan masyarakat.

“Saya berharap agar penganjuran multaqa ilmuwan dan profesional Pahang tidak berakhir dalam bentuk seminar dan perbincangan-perbincangan retorik dalam dewan ini sahaja, tetapi ianya harus direalisasi dalam bentuk Wahdatul Amal (Kesatuan Gerak Kerjs dan Tindakan) agar semua pihak dapat menggembleng tenaga dan kepakarannya untuk membina kekuatan ummah menerusi pendekatan muafakat dan amal Jama’ie” tegas baginda semasa menyempurnakan titah diraja.

Multaqa turut dihadiri oleh YAB Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Diraja Haji Adnan bin Haji Yaakob, YDH Orang Kaya Indera Pahlawan, Timbalan Yang Dipertua Majlis Ugama Islam Pahang, Dato’ Sri Wan Haji Abdul Wahid bin Haji Wan Hassan, YB Setiausaha Kerajaan Pahang, Dato’ Sri Muhammad Safian bin Ismail, Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri Pahang, Dato’ Sri Haji Ishak bin Haji Muhamad dan YBhg. Pengerusi Majlis Dakwah Negara, Prof. Emeritus Dato’ Dr. Mahmod Zuhdi bin Haji Ab Majid.

Multaqa selama sehari membentangkan serta membahaskan tiga usul berkenaan ekonomi, pendidikan dan sosiobudaya.

Manakala rumusan pembentangan resolusi disampaikan oleh YBhg. Pengarah Jawatankuasa Pelaksana Multaqa, Dr. Abu Bakar bin Jaafar.