PEKAN 20 Ogos 2017 bersamaan 27 Zulkaedah 1438H – Kebawah Yang Duli Yang Teramat Mulia Tengku Puan Pahang, Tunku Hajjah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah binti Almarhum Almutawakkil Alallah Sultan Iskandar Al-Haj bakal melancarkan Yayasan Tenun Pahang Diraja pada 13 Nov depan bagi memulihara dan memastikan keunikan serta keistimewaan kain tenun itu terus terpelihara pada masa akan datang.Titah baginda, kelangsungan Tenun Pahang Diraja memerlukan kerjasama daripada semua pihak walaupun secara peribadi baginda agak terkilan kerana agak lewat menghidupkan industri kain tenun yang telah bertapak di negeri Pahang sejak 300 tahun lalu.

“Pemangku Raja Pahang, Tengku Abdullah Sultan Ahmad pernah meminta saya untuk menghidupkan industri tenun Pahang ketika membuat lawatan ke daerah ini pada tahun 2003.

“Namun ia hanya tercetus pada tahun 2004 ketika saya sedang memilih pakaian bagi menghadiri pelancaran buku masakan tulisan saya dan komuniti yang terlibat bersetuju untuk mengenakan Tenun Pahang Diraja.

“Saya bersetuju dan mahu ke Pekan untuk pilih sendiri warna dan corak, apabila saya duduk, saya benar-benar jatuh cinta dengan corak tenun. Saya rasa amat sedih dan fikir mengapa selama ini saya tidak cuba untuk menghidupkan tenun Pahang,” titahnya.

Tunku Azizah bertitah, usaha agresif terus dilaksanakan dengan bantuan penenun di daerah ini termasuk daripada Tan Sri Dr Rais Yatim (mantan Menteri Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan) dan Yang Amat Berhormat Perdana Menteri, Datuk Sri Mohd Najib bin Tun Razak dan isteri, Yang Amat Berbahagia, Datin Sri Rosmah binti Mansor untuk sama-sama memajukan industri itu.

“Saya bimbang tenun Pahang akan lenyap begitu sahaja dalam tempoh 10 ke 15 tahun akan datang jika tiada tindakan dilakukan dan lebih sesuai apabila Kompleks Budaya dan Tenun Pahang Diraja dibangunkan di Pulau Keladi, iaitu tempat kelahiran bekas Perdana Menteri Malaysia ke-2 iaitu Tun Abdul Razak”, tegas Tengku Puan Pahang.

Baginda bertitah, nenda saudaranya banyak memartabatkan kain tenun sehingga nama Tengku Ampuan Besar Meriam dipilih sebagai nama rasmi Institut Kemahiran Tenun Pahang Diraja di Pulau Keladi.

“Kini tenun Pahang mempunyai kelas tersendiri malah secara peribadi saya amat gembira apabila anak saudara saya sendiri Tunku Tun Aminah Maimunah Iskandariah binti Sultan Ibrahim memakai dua pasang baju kurung yang diperbuat daripada Tenun Pahang Diraja bagi majlis persandingan dan adat bersiram di hari bersejarah Tun Aminah dan suami, Dennis Muhammad Abdullah pada 14 Ogos lalu di Istana Bukit Serene, Johor Bahru.

Mengiringi baginda pada majlis perasmian tersebut, paduka anakanda baginda, Yang Mulia Tengku Puteri Afzan Aminah Hafizatullah binti Tengku Mahkota Tengku Abdullah dan

Yang Mulia Tengku Puteri Jihan Azizah ‘Athiyatullah binti Tengku Mahkota Tengku Abdullah.

Turut memuliakan keberangkatan Kebawah Duli Yang Teramat Mulia Tengku Puan Pahang, Isteri Yang Amat Berhormat Menteri Besar Pahang, Yang Berbahagia Datin Sri Diraja, Dato’ Sri Junaini binti Kassim, Yang Berhormat Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri Pahang, Dato’ Sri Haji Ishak bin Muhammad, YDH Orang Kaya Indera Pahlawan, Dato’ Sri Haji Wan Abdul Wahid bin Wan Hassan, Yang Berhormat Pengerusi Jawatan Kuasa Hal Ehwal Felda Negeri, Dato’ Abu Bakar bin Harun dan isteri, Kerabat-kerabat bergelar, Ahli-ahli Jumaah Pangkuan dan YB Ahli Dewan Undangan Negeri Kawasan Bebar, Dato’ Mohd Fakharuddin bin Mohd Ariff dan Isteri masing-masing.

Hadir sama, Timbalan Ketua Setiausaha Pengurusan Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan Malaysia, Yang Berbahagia Dato’ Yean Yoke Heng dan Ketua Pengarah Kraftangan Malaysia, Yang Berbahagia Dato’ Hajjah Zuraida binti Mokhtar.