KUANTAN. 3 November 2017 Bersamaan 14 Safar 1439H – Kebawah Duli Yang Maha Mulia Pemangku Raja Pahang, Tengku Mahkota Tengku Abdullah Al-Haj Ibni Sultan Haji Ahmad Shah Al-Musta’in Billah berangkat menziarah Jenazah Allahyarhamah Datin Hajjah Hazlina bt Buang di Masjid Syaidina Ali, Bukit Sekilau, di sini pagi tadi.

Allahyarhamah Datin Hajjah Hazlina, 57 adalah isteri kepada Pengurus Besar Kanan, Pusat Kutipan Zakat Pahang (PKZ), Yang Hormat Dato’ Haji Halidan bin Md. Daud.

Kebawah Duli Pemangku Raja Pahang berangkat tiba di Masjid Syaidina Ali pada jam 10.15 pagi disambut oleh suami Allahyarham dan ahli keluarga.

Baginda bersalaman dan berpelukan sambil mengucapkan takziah kepada YH Dato’ Haji Halidan sekeluarga yang kehilangan isteri dan ibu tersayang.

Baginda kemudiannya memasuki ke dalam dewan solat masjid tersebut bagi menunaikan solat jenazah berjemaah bersama kira-kira 1,000 orang yang turut menziarah.

Solat Jenazah diimamkan sendiri oleh anak kelima Allahyarham, Ahmad Syahmi bin Halidan.
Kebawah Duli Yang Maha Mulia Pemangku Raja Pahang berangkat pulang sebaik jenazah Allahyarham Hajjah Hazlina dibawa ke Tanah Perkuburan Islam Hutan Setali.