PEKAN. 4 November 2017 Bersamaan 15 Safar 1439H – Kebawah Duli Yang Maha Mulia Pemangku Raja Pahang, Tengku Mahkota Tengku Abdullah Al-Haj Ibni Sultan Haji Ahmad Shah Al-Musta’in Billah bercemar duli menghadiri majlis perkahwinan anakanda sepupu baginda, di sini hari ini.

Pasangan ‘Raja Sehari’ Yang Mulia Tengku Norazlini Akmar binti Tengku Dato’ Omar, 27 tahun dan Fezry bin Mohd Sin, 27 tahun diraikan di Dewan Konvensyen Sultan Haji Ahmad Shah Pekan tengah hari tadi.

YM Tengku Norazlini merupakan anakanda kepada Yang Mulia Tengku Dato’ Omar bin Tengku Abdul Rahman dan Zaliah binti Mohd Yusof.

Baginda mendahului majlis merenjis air mawar dan turut mengampuni perkenan bergambar kenangan bersama pengantin baru dan keluarga kedua pihak sebelum baginda beredar ke majlis santapan.

Majlis resepsi perkahwinan dihadiri kira-kira 800 orang tetamu termasuk keluarga kedua-dua pasangan pengantin.

Di antara kerabat diraja yang hadir, Yang Amat Mulia Tengku Besar Pahang, Tengku Kamil Ismail bin Tengku Idris Shah, Yang Amat Mulia Tengku Panglima Perang Pahang, Tengku Abdul Aziz Ibni Al-Marhum Sultan Abu Bakar, Yang Mulia Tengku Dato’ Sri Sulaiman Ibni Al-Marhum Sultan Abu Bakar, Yang Hormat Dato’ Setia Pahlawan, Yang Mulia Tengku Dato’ Sri Haji Iskandar Abu Bakar bin Tengku Ali dan Yang Mulia Raja Dato’ Abu Bakar Shah bin Raja Dato’ Jalil Shah.

Manakala orang kenamaan yang hadir ialah Yang Berhormat Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Felda Negeri, Dato’ Abu Bakar bin Harun dan Datin, Yang Berhormat Ahli Dewan Undangan Negeri Peramu Jaya, Dato’ Sri Sh Puzi bin Sh Ali dan Pengarah Jabatan Agama Islam Pahang (JAIP), Yang Hormat Dato’ Haji Mohamad Noor bin Abdul Rani dan Datin.