KUANTAN, 5 November 2017 Bersamaan 16 Safar 1439H – Kebawah Yang Duli Yang Teramat Mulia Tengku Puan Pahang, Tunku Hajjah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah binti Almarhum Almutawakkil Alallah Sultan Iskandar Al-Haj perkenan bercemar duli ke Karnival Sehati @RTM #MohLaWeh di Serambi Teruntum hari ini.Baginda tiba di tapak karnival anjuran RTM bersama Kerajaan Negeri Pahang dan Majlis Perbandaran Kuantan kira-kira jam 9.10 pagi.

Kebawah Duli Tengku Puan kemudiannya bercemar duli ke tapak acara pertandingan memasak melibatkan sembilan buah pasukan yang sedang berlangsung dan turut berkongsi serba sedikit tip serta kemahiran yang dimiliki baginda yang sememangnya terkenal dalam bidang masakan.

Baginda turut meluangkan masa melawat gerai-gerai di sekitar tapak karnival selain beramah mesra dengan pengunjung yang pasti tidak mahu melepaskan peluang melihat lebih dekat dan menatap wajah ayu permaisuri hati kepada Kebawah Duli Yang Maha Mulia Pemangku Raja Pahang, Tengku Mahkota Tengku Abdullah Al-Haj Ibni Sultan Haji Ahmad Shah Al-Musta’in Billah.

Kemeriahan acara diserikan dengan kesudian Kebawah Duli Tengku Puan bercemar duli menyaksikan acara senamrobik serta menyempurnakan pengurniaan hadiah kepada pemenang pertandingan memasak.

Sebelum berangkat pulang, baginda mengampuni perkenan melawat gerai-gerai pameran dan gerai jualan pelbagai produk yang mengambil bahagian sepanjang empat hari Karnival tersebut.

Turut memuliakan keberangkatan Kebawah Duli Tengku Puan Pahang, Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wanita dan Keluarga, Komunikasi dan Multimedia Negeri, YB. Dato’ Hajah Shahaniza Binti Shamsuddin, YB Ahli Dewan Undangan Negeri Muadzam Shah, Dato’ Sri Maznah binti Mazlan, Pegawai Daerah Kuantan, YH Dato’ Zaliza bin Zaukefli dan Datin dan Pengarah RTM Pahang, Puan Norba’iyah Dato’ Baharudin.

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wanita dan Keluarga, Komunikasi dan Multimedia Negeri, YB. Dato’ Hajah Shahaniza Binti Shamsuddin berkata karnival yang diadakan ini dapat mendekatkan rakyat dengan fungsi Serambi Teruntum yang dibina Majlis Pembangunan Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECERDC) dan berada di bawah kelolaan Majlis Perbandaran Kuantan (MPK).

“Serambi Teruntum ini berperanan sebagai platform bagi usahawan-usahawan tempatan untuk mempamerkan produk-produk mereka kepada para pengunjung, sekaligus membantu memelihara budaya dan warisan negeri Pahang.

Projek ini akan memberi manfaat kepada warga Pahang khususnya di kawasan Kuantan dan sekitarnya melalui kewujudan peluang-peluang pekerjaan dan keusahawanan baharu.

“Semua produk yang ada di negeri ini mempunyai kualiti tinggi yang setanding dengan jenama luar negara hasil daripada usaha kerajaan membangunkan usahawan tempatan melalui pelbagai program.

“Jelas bahawa produk-produk pilihan dalam negeri yang dipromosi di sini merupakan produk Industri Kecil dan Sederhana (IKS) yang mempunyai potensi serta peluang dan ruang untuk dipasarkan secara langsung.

“Pendedahan produk IKS kepada orang ramai secara bersemuka ini dapat mengenalpasti golongan sasarannya serta jangkaan pengeluaran produk secara konsisten.

“Para peniaga juga diharap dapat memberi kerjasama dengan menyertai demonstrasi menyediakan produk IKS yang diusahakan mereka di mana Serambi Teruntum yang disediakan adalah platform tepat bagi memasarkan produk mereka sebelum dibawa bersaing ke peringkat lebih tinggi dan luas,” katanya.