RAUB. 9 November 2017 Bersamaan 21 Safar 1439H – Kebawah Duli Yang Maha Mulia Pemangku Raja Pahang, Tengku Mahkota Tengku Abdullah Al-Haj Ibni Sultan Haji Ahmad Shah Al-Musta’in Billah bercemar duli melawat mangsa kebakaran di Kampung Sri Jaya, Tok Machang Ulu Gali dekat sini hari ini.

Kedukaan enam sekeluarga yang terlibat dalam tragedi berkenaan terubat dengan keperihatinan Tengku Abdullah yang turut berkenan mendengar taklimat serta menyampaikan sendiri sumbangan peribadi dan kerajaan negeri sebanyak RM20,000.

Baginda tiba di lokasi kejadian pada jam 2.30 petang sebelum mendengar taklimat yang disampaikan oleh Pengerusi Bencana Daerah merangkap Pegawai Daerah Raub, Yang Hormat Dato’ Hamdan Bin Hussin.

Baginda turut menzahirkan rasa dukacita dan simpati di atas musibah yang menimpa nasib keluarga berkenaan dan turut memberi jaminan pembinaan dua buah Rumah Mesra Rakyat 1Malaysia (RMR1M) bernilai RM65,000 setiap sebuah diluluskan oleh Syarikat Perumahan Negara Berhad (SPNB).

”Nasihat saya, kepada sesiapa sahaja yang ditimpa musibah, kita semua seharusnya bersabar dan percaya setiap musibah itu pasti ada hikmahNya”,
“Selain mangsa, Encik Ibrahim yang akan mendapat rumah SPNB, abang beliau turut mendapat jaminan SPNB membina sebuah lagi rumah dengan rekabentuk sama di atas tanah milik mereka berdua”, titah baginda.
Pada lawatan itu, Tengku Abdullah sempat beramah mesra dengan orang ramai serta sukarelawan yang ada di lokasi sebelum berangkat ke Masjid Jamek Ulu Gali untuk menunaikan solat jamak.

Selepas selesai solat, baginda mengamouni perkenan bercemar duli ke Majlis Jamuan Tea dan Beramah Mesra dengan pemimpin dan penduduk setempat sebelum berangkat pulang ke Kuantan.

Hadir sama memuliakan keberangkatan baginda, Ahli Dewan Undangan Negeri Batu Talam, Yang Berhormat Batu Talam, Dato’ Abdul Aziz bin Kiram, Ketua Polis Pahang, Yang Hormat Dato’ Sri Rosli bin Ab Rahman, Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat negeri Pahang, Dato’ Abdul Wahab Mat Yasin, Setiausaha Majlis Ugama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang (Muip), Yang Hormat Dato’ Ahmad Hairi bin Hussain, Pegawai-Pegawai Kanan Daerah, Penghulu-Penghulu Mukim dan pemimpin-pemimpin kanan parti kompenen Barisan Nasional Parlimen Raub.

Sementara itu mangsa yang juga pesara tentera, Ibrahim bin Hassan, 54 tahun, dan abangnya, Abdul Aziz yang ditemui sangat terharu dan menjunjung kasih terhadap keperihatinan baginda yang sanggup turun padang melihat sendiri kesusahan dialami mereka dan juga rakyat di negeri ini.

“Saya sangat bersyukur dengan kurniaan dari tuanku, malah subsidi dari kerajaan negeri sebanyak RM20,000 bagi setiap buah rumah yang akan dibina manakala selebihnya dibayar secara ansuran sememangnya meringankan beban saya yang bekerja sebagai pengawal keselamatan di Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB).
“Sebelum kejadian rumah saya didiami bersama isteri, Salasiah Mat Yazik, 43, yang bekerja sebagai pencuci pejabat di  UiTM Kampus Raub serta dua anak dan dua anak saudara yang masih bersekolah.
“Dengan adanya rumah RMR1M yang dianggarkan siap tiga bulan dari tarikh ia mula dibina esok (10hb November) dapat memberi keselesaan hidup kepada kami semua termasuk memberi peluang kepada abang untuk memiliki rumah sendiri,” katanya.
Menurutnya, sebelum kejadian dia telah memohon memohon untuk membina rumah dengan SPNB namun masih menunggu jawapan berkenaan kelulusan permohonannya itu.
“Walaupun sedih mengenangkan rumah dan harta benda yang habis terbakar, namun hikmahnya saya dan abang menerima rumah demi keselesaan keluarga kami masing-masing,” katanya.