KUANTAN. 26 November 2017 Bersamaan 6 Rabiulawal 1439H – Kebawah Duli Yang Maha Mulia Pemangku Raja Pahang, Tengku Mahkota Tengku Abdullah Al-Haj Ibni Sultan Haji Ahmad Shah Al-Musta’in Billah bercemar duli merasmikan Kejohanan Catur Asean Peringkat Umur Kali ke-18 (18th Asean Age Group Chess Championship 2017) di Hotel Grand Darul Makmur pagi tadi. Kejohanan bertaraf antarabangsa yang berlangsung bermula semalam hingga 4 Disember depan ini menghimpunkan seramai 300 pemain catur dari seluruh negara Asia berusia 8 hingga 18 ini menyaksikan tiga kategori permainan catur dipertandingkan iaitu Klasikal, Rapid dan Blitz.

Bagi permainan Klasikal, pemain diberi masa bermain semalam empat jam dan ketika ini mereka memerlukan kekuatan dan kepintaran otak. Dalam masa sama ia akan memberi mereka lebih pendedahan ketika bertemu pihak lawan terutama pemain dari negara berbeza. Manakala bagi jenis permainan Rapid pula mereka diberikan masa untuk bermain selama 25 minit dan Blitz hanya lima minit sahaja dalam menguji kepintaran mereka. Tengku Abdullah dalam titah baginda menyifatkan penganjuran kejohanan catur di negeri membuka ruang seluas-luasnya untuk rakyat lebih mengenali sukan tersebut yang semakin popular kini.

“Perhatian dan kerjasama baik antara pihak media, individu dan juga persatuan catur di setiap peringkat membantu mengembangkan lagi minat serta potensi pemain sukan ini.

“Sukan catur telah bertapak sejak 1500 tahun dahulu…malahan ia menguji kecekapan minda pemain di tahap yang tinggi.

“Penglibatan pemain di peringkat usia muda ini amat dibanggakan malah ia menjadi platform untuk negara melahirkan lebih ramai pemain bertaraf antarabangsa dan boleh diketengahkan di kejohanan-kejohanan yang dianjurkan,” titah baginda.

Hadir sama, Pengarah Akademi Catur Asean, Ignatius Leong, Presiden Persekutuan Catur Malaysia, Datuk Zahidi Zainul Abidin dan Presiden Persatuan Catur Negeri Pahang (PCNP), Hamidah Abdul Hamid. Dalam pada itu, baginda berharap agar lebih banyak sukan bertaraf antarabangsa yang tidak ‘dipandang’ orang ramai mendapat perhatian sewajarnya sekaligus memastikan penglibatan aktif peserta dari negara ini

“Saya berharap kesungguhan yang ditunjukkan oleh semua pihak dalam meletakkan sukan ini ke tahap yang membanggakan dapat diteruskan dalam sukan-sukan ‘indoor’ lain seperti pool, snuker dan pelbagai lagi sukan yang memerlukan perhatian.

“Ia memerlukan kerjasama baik terutamanya guru dan juga ibu bapa serta guru yang boleh mengesan bakat anak masing-masing dan mengembangkan potensi mereka secara profesional melalui latihan intensif dengan pakar yang ada di negara ini,” titah baginda.

Sementara itu, Tengku Abdullah meminta kerajaan pusat dan negeri memberi perhatian kepada penyediaan fasiliti sukan ‘indoor’ bagi memastikan negara ini dapat menjadi penganjur terbaik dalam acara-acara berprestij.

“Adakala kita ada pemain hebat, tetapi kita tidak mempunyai kemudahan lengkap untuk anjur sebarang acara berstatus antarabangsa.

“Kekurangan ini memerlukan perhatian, malah perubahan yang dibuat membolehkan kita bersaing dengan peserta dari luar negara sekaligus mengasuh pemain sentiasa bersedia menghadapi cabaran dari pihak lawan dan menimba pengalaman daripada penyertaan mereka.