PEKAN. 28 November 2017 bersamaan 9 Rabiulawal 1439H – Kerabat Bergelar, Yang Amat Mulia Tengku Panglima Besar Pahang Tengku Dato’ Ibrahim bin Tengku Sulaiman, 80 tahun mangkat di Wad Diraja Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA), Kuantan pagi tadi. YAM Tengku Panglima Besar Pahang yang menghidap masalah paru-paru berair dikejarkan ke Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) jam 10.00 malam tadi disahkan mangkat oleh Pegawai Perubatan HTAA kira-kira pukul 7.05 pagi tadi.

Almarhum Tengku Ibrahim yang diputerakan pada tanggal 26 Oktober 1937 meninggalkan enam orang anak. Jawatan yang disandang Almarhum ialah Ahli Majlis Daerah Pekan (MDP), mantan Pengurus Besar Mentiga Corporation Berhad dan mantan Ahli Majlis Suruhanjaya Perkhidmatan Awam Negeri Pahang (SPA).

Almarhum Yang Amat Mulia Tengku Panglima Besar Pahang adalah ayahanda sepupu kepada Kebawah Duli Yang Maha Mulia Sultan Pahang, Sultan Haji Ahmad Shah Al-Musta’in Billah Ibni Almarhum Sultan Abu Bakar Ri’ayatuddin Al-Muadzam Shah. Jenazah Almarhum tiba di kediamannya di Jalan Tengku Panglima Besar Tengku Sulaiman, Kampung Parit Tengah kira-kira jam 10.00 pagi.

Turut berangkat menziarah jenazah di kediaman Almarhum, Kebawah Duli Yang Teramat Mulia Tengku Puan Pahang, Tunku Hajjah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah binti Almarhum Almutawakkil Alallah Sultan Iskandar Al-Haj, kaum kerabat diraja Pahang dan sahabat handai Almarhum. Tengku Puan Pahang turut bercemar duli berangkat pada Istiadat Pemakaman Diraja dan turut mengampuni perkenan menyiram air tahlil dan menabur bunga rampai di pusara Almarhum.

Turut hadir Yang Amat Mulia Tengku Puteri Seri Teja Pahang Hajjah Tengku Dato’ Muhaini binti Sultan Haji Ahmad Shah Al-Musta’in Billah dan suami, Panglima Tentera Udara, General Tan Sri Dato’ Sri Hj Affendi bin Buang. Terdahulu, jenazah Almarhum disolatkan di Masjid Sultan Haji Ahmad Shah sebelum diusung ke Tanah Perkuburan Islam kira-kira 100 meter dari masjid tersebut.

Majlis bacaan talkin diketuai Al-Fadhil Qadhi Daerah Pekan, Tuan Haji Ahmad Nizam bin Abdul Manan dan turut disertai Al-Fadhil Tuan Haji Abdul Zaki bin Mohd Zain, Qadhi Daerah Kuantan.

AL-FATIHAH