KUANTAN. 30 November 2017 bersamaan 11 Rabiulawal 1438H – Kebawah Duli Yang Teramat Mulia Tengku Puan Pahang, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah binti Almarhum Almutawakkil Alallah Sultan Iskandar Al-Haj menyarankan agar chef di negeri ini menggunakan kepakaran yang ada pada diri mereka untuk membantu mangsa banjir sekiranya bencana tersebut melanda. Ini secara langsung dapat memberikan sedikit keceriaan kepada mangsa-mangsa banjir melalui masakan yang enak daripada chef profesional.

Baginda bertitah, kerjasama antara chef dan masyarakat dalam berkongsi khidmat memasak untuk mangsa banjir sedikit sebanyak dapat membantu meringankan beban mereka.

“Saban tahun, Pahang merupakan antara negeri yang akan dilanda banjir dan untuk tahun ini saya menjemput semua chef di negeri ini untuk turun padang membantu memasak untuk mangsa-mangsa banjir.

“Seperti mana kita bersama-sama hari ini memasak dalam Cabaran Kulinari Asia 2017, kita juga harus bersama-sama meringankan beban membantu untuk memasak bagi golongan memerlukan,” baginda bertitah demikian ketika menyempurnakan titah diraja pada Majlis Penutup Cabaran Kulinari Asia 2017 di sini semalam.  Dalam pada itu, baginda bertitah perancangan bagi menubuhkan Tunku Azizah Royal Culinary School di negeri ini, baginda mengharapkan lebih banyak maklumbalas membina bagi melengkapkan keperluan berkaitan.

“Kita perlu lebih banyak pandangan dan idea terutamanya dari chef berpengalaman dan terkenal di dalam dan luar negara bagi memastikan perancangan ini berjalan sempurna.

“Penyediaan skop pembelajaran termasuk usaha mengkomersilkan hidangan tradisional kita yang setanding menu luar negara perlu diberi sokongan sewajarnya,” titah baginda.

Sementara itu, seramai 300 peserta daripada dalam dan luar negara telah menyertai cabaran tersebut tahun ini. Cabaran tahunan yang memasuki edisi kali keenam anjuran Kolej Yayasan Pahang Advanced Skills itu menyaksikan Tunku Azizah sebagai juri DiRaja.  Selain kelas 1-19 iaitu bawah 24 tahun dan kategori terbuka, turut dipertandingkan buat julung kalinya iaitu melibatkan pelajar sekolah menengah untuk kelas pasta, daging dan makanan laut.

Kejohanan kali ini menyaksikan wakil Universiti Teknologi Mara Cawangan Pulau Pinang merangkul gelaran juara keseluruhan menewaskan juara tahun lalu dari Kolej Yayasan Pahang.