KUANTAN. 13 Disember 2017 bersamaan 24 Rabiulawal 1439H – Satu Program Ijtimak Pentadbir-Pentadbir Maahad Tahfiz dan Pondok bagi Zon Timur/Zon Tengah telah diadakan di Dewan Perdana, Hotel Grand DarulMakmur di sini, semalam.

Program berkenaan melibatkan kehadiran seramai 122 orang daripada 66 buah Maahad Tahfiz meliputi daerah Pekan, Kuantan, Chenor, Maran, Temerloh, Bera, Rompin dan Muadzam Shah dengan penyampaian taklimat berkenaan beberapa isu penting.

Program ini secara dasarnya dilaksanakan bagi menjunjung titah Kebawah Duli Yang Maha Mulia Pemangku Raja Pahang, Tengku Abdullah Al-Haj Ibni Sultan Haji Ahmad Shah Al-Musta’in Billah yang mahu pihak pengurusan Jabatan Agama Islam Pahang (JAIP) mengadakan lawatan dan perjumpaan bersama-sama pihak pengurusan pusat pengajian agama antaranya maahad tahfiz, sekolah-sekolah pondok serta madrasah-madrasah yang terdapat di negeri ini.

Baginda bertitah sedemikian ketika bercemar duli berangkat mempengerusikan Mesyuarat Majlis MUIP Kali Ke-170 pada bulan Oktober yang lepas.

Baginda selaku Yang Dipertua MUIP dalam titahnya berharap agar JAIP sebagai pelaksana dasar yang diputuskan oleh MUIP mengikut peraturan-peraturan yang terkandung dalam enakmen-enakmen berkaitan dengan Agama Islam Negeri Pahang termasuk mengadakan lawatan.

 “Saya berharap agar perjumpaan yang diadakan (nanti) memperoleh keputusan positif daripada perbincangan yang dilakukan untuk mengenalpasti kaedah-kaedah terbaik pengurusan sesebuah pusat pengajian.

“Ia merangkumi kelengkapan dalam aspek penyelenggaraan yang baik, silibus pengajaran, keselamatan, kesihatan serta persekitaran yang kondusif bagi memastikan pembelajaran dan kehidupan para pelajar dalam keadaan yang baik,” titah baginda.

Sementara itu, antara pengisian program yang diadakan selama satu hari itu ialah penjelasan berkenaan Enakmen Pentadbiran Undang-Undang Islam 1991 dan Peraturan-peraturan Pendaftaran Sekolah-sekolah Ugama Negeri Pahang 1985 oleh Pegawai Undang-Undang Majlis Ugama Islam Pahang, Puan Norazlina binti Yaakob.

Peserta turut didedahkan dengan Panduan Pendaftaran Sekolah Agama Islam Bukan Milik Kerajaan oleh Pegawai Zakat Kanan Majlis Ugama Islam Pahang, Ustaz Haji Mohd Ali bin Mat Dasir, Prosedur Proses Permohonan Pas Lawatan Ikhtisas Guru-guru Agama dan Pelajar Agama oleh Penolong Pengarah Bahagian Pendidikan JAIP, Ustaz Lebai Idris bin Ali serta Garis Panduan Wakaf Negeri Pahang oleh Pegawai Ehwal Ekonomi Kanan MUIP, Encik Izhar bin Ahmad.

Isu keselamatan turut menjadi tumpuan dengan perkongsian berkenaan Garis Panduan Keselamatan dan Kebakaran oleh Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia serta Garis Panduan Keselamatan oleh Majlis Perbandaran Kuantan.

Acara diteruskan dengan ceramah berkenaan Keselamatan dan Kualiti Makanan oleh Jabatan Kesihatan Negeri Pahang serta Hak-hak Asasi Manusia oleh Suruhanjaya Hak Asasi Manusia.

Acara diakhiri dengan tajuk halatuju dan Pembangunan Akademik Tahfiz oleh Jabatan Pendidikan Negeri Pahang serta Taklimat Program Baik Pulih dan Senggaraan Pendawaian oleh GIATMARA.

Kejayaan penganjuran program ini hasil kerjasama pihak Majlis Ugama Islam Pahang bersama-sama Jabatan Mufti Negeri Pahang, Jabatan Agama Islam Pahang, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia, Jabatan Pendidikan Pahang, Suruhanjaya Hak Asasi Manusia, Majlis Perbandaran Kuantan, Tenaga Nasional Berhad dan GIATMARA.

Majlis perasmian penutupan telah disempurnakan oleh Timbalan Yang Dipertua Majlis Ugama Islam Pahang, YDH Orang Kaya Indera Pahlawan, Dato’ Sri Wan Haji Abdul Wahid bin Haji Wan Hassan.