KUANTAN 15 Disember 2017 bersamaan 26 Rabiulawal 1439H -Yang Amat Berhormat Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Diraja Adnan Haji Yaakob menyarankan pengamal media mengadakan sesi “brainstorming’ bagi menghadapi cabaran media alaf kini yang semakin menghimpit media arus perdana.

Menurutnya, keperluan menyediakan bahan yang ‘kena dengan selera’ masyarakat menjadi keutamaan bagi memastikan media arus perdana tetap menjadi pilihan masyarakat.

“Sekali-sekala adakan sesi ‘brainstorming” di sesuatu lokasi untuk mencari penyelesaian.

“Masyarakat kini lebih mudah percaya dengan berita yang disebarkan di media sosial walaupun tidak benar dan disensasikan untuk meraih perhatian mereka,” katanya dalam ucapan perasmian sempena Majlis Anugerah Media Pahang DRB-Hicom 2017 di sini, semalam.

Adnan hadir mewakili Kebawah Duli Yang Maha Mulia Pemangku Raja Pahang, Tengku Abdullah Al-Haj Ibni Sultan Haji Ahmad Shah Al-Musta’in Billah.

Dalam pada itu, Adnan turut mengakui media arus perdana kini berdepan masalah berikutan pengaruh media sosial yang kian meluas.

“Situasi media arus perdana tidak sepopular, kini kian terancam, dan kena cari jalan untuk kembali bangkit semula,

“Masa kian berubah, dan saya rasa simpati dalam konteks media arus perdana terancam, saudara-saudari turut berdepan keadaan sukar mencari bahan berita dan melawan tohmahan di media sosial “katanya lagi.

Sebanyak 14 kategori dipertandingkan dalam anugerah yang memasuki tahun ketiga penganjurannya menyaksikan Ketua Biro Utusan, Mohd Shahriza Abdullah menerima anugerah Media Pahang-DRB Hicom kali ini dan Datuk Alang Ahmad Teh untuk penerima Jasamu Dikenang.

Sementara itu, bagi kategori Laporan Berita Bahasa Melayu Terbaik menjadi milik wartawan Berita Harian, Amin Ridzuan Ishak, Lee Siew Ting dari Nayang Siang Pau (Bahasa Cina), Datuk Nik Naizi Husin (The Star) untuk laporan Bahasa Inggeris.

Bagi laporan rencana penulisan Bahasa Melayu menjadi milik Utusan Malaysia menerusi Mohd Shahriza, wartawan Sin Chew Daily, Choo Sook Yee bagi kategori Bahasa Cina dan Bahasa Inggeris diraih oleh The Star menerusi Ong Han Sean.

Untuk laporan berita televisyen menjadi milik TV3 yang diraih oleh Ahmad Fazli Ahmad yang turut menyaksikan penguasaan agensi tersebut bagi Jurukamera menjadi milik Bazaai Ahmad.

Manakala Penyampai Radio Lelaki dan Wanita menjadi milik Mohd Ibrahim Ishak dan Wan Azizah Wan Sulaiman.

Dalam majlis tersebut, Ketua Komunikasi Startegik Kumpulan DRB Hicom, Mahmood Abdul Razak, Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Pahang, Datuk Abdul Wahab Mat Yasin dan Presiden Kelab Media Pahang, Nik Naizi bersama kira-kira 100 pengamal media hadir di Dewan Sri Mahkota, Ibu Pejabat Bomba dan Penyelamat Pahang.

Juara bagi setiap kategori masing-masing membawa pulang hadiah wang tunai RM1,500, naib juara (RM1,000) dan tempat ketiga (RM750) dan dalam majlis sama, Adnan mengumumkan bonus tambahan RM500 bagi setiap pemenang.