PEKAN 16 Disember 2017 bersamaan 27 Rabiulawal 1439H – Seramai 167 orang menerima darjah-darjah dan pingat-pingat kebesaran negeri Pahang pada Istiadat Pengurniaan Darjah-Darjah dan Pingat-Pingat Kebesaran Negeri Pahang Darul Makmur Sempena Memulia Ulang Tahun Hari Keputeraan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Sultan Pahang di sini, hari ini.

Istiadat pengurnian yang bermula jam 2.00 petang itu disempurnakan oleh Kebawah Duli Yang Maha Mulia Pemangku Raja Pahang, Tengku Mahkota Tengku Abdullah Al-Haj Ibni Sultan Haji Ahmad Shah Al-Musta’in Billah.

Yang Berbahagia Datin Seri Utama Datuk Anggraini binti Sentiaki, isteri kepada Yang Berhormat Mulia Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Utama, Tengku Adnan bin Tengku Mansor yang mendahului senarai 21 orang penerima Darjah Kebesaran Sultan Ahmad Shah Pahang, Yang Amat Di Mulia, Peringkat Pertama, Sri Sultan Ahmad Shah Pahang (SSAP) yang membawa gelaran Dato’ Sri.

Yang Berhormat Penasihat Undang-Undang Negeri Pahang, Dato’ Shamsulbahri bin Haji Ibrahim, lima Ahli Mesyuarat Kerajaan Negeri Pahang, Yang Berhormat Dato’ Haji Shafik Fauzan bin Haji Sharif, Yang Berhormat Dato’ Abu Bakar bin Harun, Yang Berhormat Dato’ Haji Mohd Johari bin Haji Hussain, Yang Berhormat Dato’ Norol Azali bin Sulaiman, Yang Berhormat Dato’ Shahaniza binti Shamsuddin dan Yang Berhormat Dato’ Haji Syed Ibrahim bin Syed Ahmad.

Antara penerima lain, Pesuruhjaya Polis Sarawak, Yang Hormat CP Dato’ Haji Amer bin Haji Awal, Naib Canselor Universiti Pahang, Profesor Dato’ Daing Nasir bin Daing Ibrahim, Ketua Eksekutif Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO), Dato’ Dr. Mohammed Azman bin Aziz Mohammed, Pesara Polis, Yang Hormat SAC (B) Dato’ Haji Mohd Jasmani bin Haji Yusoff dan Pengurus Besar Kanan Lembaga Tabung Haji, Yang Berbahagia Dato’ Haji Syed Salleh bin Syed Abdul Rahman yang turut menerima darjah SSAP yang membawa gelaran Dato’ Sri.

Manakala tujuh orang menerima Darjah Kebesaran Mahkota Pahang Yang Amat Mulia Peringkat Pertama, Sri Indera Mahkota Pahang (SIMP) yang membawa gelaran Dato’ Indera, lima orang menerima DSAP dan 76 orang menerima Darjah Indera Mahkota Pahang (DIMP) yang membawa gelaran Dato’.

Darjah-darjah lain, SAP enam orang, lapan menerima Darjah Setia Mahkota Pahang (SMP), 15 menerima Ahli Mahkota Pahang (AMP).

Sementara 6 orang menerima Pingat Khidmat Cemerlang (PKC) dan 16 orang menerima Pingat Jasa Kebaktian (PJK).

Sebaik sempurna Istiadat Pengurniaan Darjah-Darjah dan Pingat-Pingat Kebesaran Negeri Pahang, Kebawah Duli Yang Maha Mulia Pemangku Raja bercemar duli berangkat ke Majlis Jamuan Rakyat di Mulia Istana Abu Bakar.

Turut mengiringi Yang Amat Mulia Kerabat-Kerabat Bergelar, Yang Amat Berhormat Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Diraja Haji Adnan bin Haji Yaakob, Menteri Wilayah Persekutuan, Timbalan Menteri Sumber Manusia Dato’ Sri Haji Ismail bin Haji Muttalib dan Yang Berhormat Setiausaha Kerajaan Negeri Pahang, Dato’ Sri Muhammad Safian bin Ismail dan isteri masing-masing.

Jamuan Rakyat sempena memuliakan Ulang Tahun Hari Keputeraan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Sultan Pahang itu dihadiri kira-kira 3,000 jemputan merangkumi semua lapisan rakyat yang mewakili daerah-daerah di negeri Pahang termasuk wakil Agensi Kerajaan, Institut Pengajiaan Tinggi, Sekolah-sekolah dan 440 orang asnaf.

Di akhir majlis, Kebawah Duli Yang Maha Mulia Pemangku Raja Pahang mengampuni perkenan mengurniakan sumbangan wang zakat dan Baitulmal daripada Majlis Ugama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang (MUIP) kepada 440 asnaf yang turut diraikan pada majlis tersebut.