PEKAN. 21 Disember 2017 bersamaan 3 Rabiulakhir 1439H – Kebawah Duli Yang Maha Mulia Pemangku Raja Pahang, Tengku Mahkota Tengku Abdullah Al-Haj Ibni Sultan Haji Ahmad Shah Al-Musta’in Billah hari ini menerima zakat perniagaan bernilai kira-kira RM1.678 juta bagi Majlis Ugama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang (MUIP). Syarikat korporat yang menyumbang zakat ialah Far East Holdings Berhad (RM1.085 juta), Bank Pembangunan Malaysia Berhad menyampaikan zakat sebanyak RM400,000, CIMB Islamic Bank Berhad (RM100,000) dan GITN Sdn Bhd (RM93,333).

Baginda yang juga Yang Dipertua Majlis Ugama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang (MUIP) hari ini turut berkenan menyampaikan sumbangan sebanyak RM1.06 juta kepada Institut Jantung Negara (IJN) dan mangsa banjir di Kedah serta Pulau Pinang. Sumbangan kepada IJN diterima Pengerusinya, Tan Sri Dr. Mohd Nasir Mohd Asyraf bagi menampung kos rawatan pesakit beragama Islam kurang berkemampuan dari negeri ini yang mendapat rawatan di IJN.

Sumbangan bernilai masing-masing RM30,000 untuk mangsa banjir diterima Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga Zakat Kedah, Sheikh Zakaria Othman dan wakil Zakat Pulau Pinang, Hambali Mohd Fuad.

Hadir sama, Yang Amat Berhormat Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Diraja Haji Adnan bin Haji Yaakob dan Timbalan Yang Dipertua MUIP, Yang DiHormat Orang Kaya Indera Pahlawan, Dato’ Sri Wan Haji Abdul Wahid bin Haji Wan Hassan, Yang Berhormat Setiausaha Kerajaan Negeri Pahang, Dato’ Sri Haji Muhammad Safian bin Ismail, Sahibus Samahah Mufti Pahang, Yang Hormat Dato’ Sri Dr. Haji Abdul Rahman bin Haji Osman dan Yang Berhormat Penasihat Undang-Undang Negeri, Dato’ Sri Haji Shamsulbahri bin Ibrahim.

Terdahulu Tengku Abdullah berkenan mempengerusikan Mesyuarat Majlis ke-171 yang bermula kira-kira jam 10 pagi.

Dalam pada itu, sehingga 18 Disember lalu, Pusat Kutipan Zakat Pahang berjaya mengutip zakat berjumlah RM111 juta membabitkan 79,721 individu. Sebanyak RM120 juta jumlah kutipan zakat disasarkan dikutip pada tahun ini membabitkan bilangan pembayar 83,000 orang.

Pada majlis itu, Tengku Abdullah turut menyaksikan majlis menandatangani persefahaman (MoU) di antara Kolej Universiti Islam Pahang Sultan Ahmad Shah (KUIPSAS) dengan MUIP serta lima agensi. Agensi lain adalah Pusat Kutipan Zakat Pahang, Jabatan Kehakiman Syariah Negeri Pahang, Pertubuhan Peguam Syarie Pahang, Dewan Perniagaan Melayu Malaysia Cawangan Pahang dan Etiqa Takaful Berhad.

MoU itu bertujuan untuk menjalinkan hubungan kerjasama antara KUIPSAS dengan agensi berkenaan bagi memartabatkan Pendidikan Islam di negeri ini.