KUANTAN 3 Jan 2018 Bersamaan 15 Rabiulakhir 1439H – Bukan hanya sekadar kata-kata, ‘Raja dan rakyat berpisah tiada’ adalah frasa benar yang melambangkan kemuliaan dan kasih mendalam baginda terhadap rakyat.

Itulah situasi jelas yang dapat dilihat pada pasangan Diraja, Kebawah Duli Yang Maha Mulia Pemangku Raja Pahang, Tengku Mahkota Tengku Abdullah Al-Haj Ibni Sultan Haji Ahmad Shah Al-Musta’in Billah dan isteri, Kebawah Duli Yang Teramat Mulia Tengku Puan Pahang, Tunku Hajjah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah binti Almarhum Almutawakkil Alallah Sultan Iskandar Al-Haj yang bercemar duli ke perkarangan bilik mayat Tengku Ampuan Afzan (HTAA) dan berkongsi duka sepasang suami isteri di atas kehilangan anak sulung mereka yang menjadi korban pertama banjir di negeri ini.

Walaupun sibuk dari pagi turun padang untuk melihat sendiri keadaan rakyat yang ditimpa musibah banjir di Rompin dan Kuantan, baginda dan isteri seolah-olah tidak mengenal erti penat malah segera menemui pasangan malang yang kehilangan anak mereka dalam kejadian kira-kira jam 6 petang tadi.

Tengku Abdullah dan isteri berangkat tiba di Jabatan Perubatan Forensik Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA), Kuantan pada jam 8.10 malam selepas menerima maklumat bahawa mangsa telah ditemui dan dibawa ke hospital bagi tujuan bedah siasat sebelum meneruskan lawatan ke Wisma Belia.

Baginda sebelum itu berangkat melawat dan menyampaikan sumbangan kepada mangsa-mangsa banjir di 6 buah Pusat Pemindahan Banjir (PPB) di Rompin sebelum singgah di  PPB Kampung Pahang.

Baginda dan isteri meluangkan masa kira-kira 30 minit bertemu dengan bapa mangsa, Mohd Afif Abd Razak, 32, dan isterinya, Intan Fazwani Che Zainol, 33, yang sedang mengandung tiga bulan dan kelihatan amat sebak.

Tengku Abdullah dan Tunku Azizah hadir meredakan hiba di hati ibu bapa malang itu walaupun baginda sendiri turut menitiskan air mata ketika mendengar cerita berkenaan kematian Muhammad Faris Aqeel, 7, yang lemas di longkang sawah padi di Kampung Padang Jaya, Sungai Lembing.

Baginda meminta agar pasangan suami isteri itu bersabar menghadapi ujian berat daripada Allah SWT ini dan berharap agar kedukaan di hati kedua-duanya dikurangi rasa pasrah dan reda kepada Ilahi.