KUANTAN. 4 Januari 2018 bersamaan 16 Rabiulakhir 1439H – Pusat pemindahan sementara yang menempatkan mangsa-mangsa banjir di sekitar daerah Kuantan pada hari ini kembali menerima kunjungan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Pemangku Raja Pahang, Tengku Mahkota Tengku Abdullah Al-Haj Ibni Sultan Haji Ahmad Shah Al-Musta’in Billah. Sebelum ini baginda telah pun melawat ke beberapa buah pusat pemindahan banjir di daerah Kuantan semasa hari pertama banjir melanda di negeri ini. Keberangkatan baginda diiringi bersama-sama Kebawah Duli Yang Teramat Mulia Tengku Puan Pahang, Tunku Hajjah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah binti Almarhum Almutawakkil Alallah Sultan Iskandar Al-Haj.

Lawatan baginda pada hari ini melibatkan tujuh buah pusat pemindahan banjir iaitu di Dewan SUKPA Indera Mahkota, Dewan Wawasan JPS Kemunting, SMK Tanah Putih, SRJK (C) Chung Ching, SMK Paya Besar, SMK Gudang Rasau dan Sekolah Menengah Sains Sultan Ahmad Shah (SEMSAS). Baginda dan Tengku Puan Pahang meluangkan masa beramah mesra bertanyakan khabar dan melayani mangsa banjir menjamu selera dengan menyenduk lauk-pauk ke dalam pinggan serta berkenan mengurniakan sumbangan peribadi dan bantuan daripada Majlis Ugama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang kepada 862 ketua keluarga serta kanak-kanak di setiap pusat pemindahan banjir yang dilawati. Kelancaran proses kurniaan sumbangan kepada penerima-penerima bantuan banjir turut dibantu oleh pejabat Majlis Ugama Islam Pahang Cawangan Kuantan dengan kerjasama agensi-agensi yang lain.

Bencana banjir yang melanda di Pahang memasuki hari ketiga menyaksikan enam daerah terlibat banjir dengan pertambahan pusat-pusat pemindahan banjir telah dibuka dan sehingga kini daerah Kuantan mencatatkan jumlah tertinggi iaitu 31 pusat pemindahan menempatkan seramai 7000 lebih mangsa yang menghuninya.