PEKAN. 5 Januari 2018 bersamaan 17 Rabiulakhir 1439H – Kebawah Duli Yang Maha Mulia Pemangku Raja Pahang, Tengku Mahkota Tengku Abdullah Al-Haj Ibni Sultan Haji Ahmad Shah Al-Musta’in Billah berangkat bercemar duli ke SK Merchong Jaya pagi tadi. Keberangkatan baginda sempena lawatan ke pusat pemindahan sementara (PPS) yang menempatkan mangsa-mangsa banjir di negeri Pahang. PPS SK Merchong Jaya menempatkan seramai 548 mangsa daripada 144 keluarga.

Mengiringi baginda, YB Setiausaha Kerajaan Negeri Pahang, Dato’ Sri Muhammad Safian bin Ismail serta YB ADUN Bebar, Dato’ Mohammad Fakhruddin bin Mohd Ariff. Baginda meluangkan masa melawat mangsa-mangsa banjir dan mengurniakan sumbangan peribadi serta bantuan daripada Majlis Ugama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang kepada ketua keluarga serta kanak-kanak.

PPS di daerah Pekan yang dibuka setakat kini berjumlah 7 buah dengan menempatkan seramai 1,278 mangsa daripada 323 keluarga.