KUANTAN 10 Januari 2018 Bersamaan 22 Rabiulakhir 1439H – Kebawah Duli Yang Maha Mulia Pemangku Raja Pahang, Tengku Mahkota Tengku Abdullah Al-Haj Ibni Sultan Haji Ahmad Shah Al-Musta’in Billah mengampuni perkenan menerima mengadap Pengarah Jabatan Perhutanan Negeri Pahang yang baru, di Istana Abdulaziz di sini hari ini. Kunjungan hormat daripada YH Dato’ Dr. Hizamri bin Yasin dilakukan selepas beliau memulakan tugas di negeri ini pada 2 Jan lalu.

Beliau mengisi kekosongan jawatan disandang oleh YH Dato’ Hj. Mohd. Paiz bin Kamaruzaman yang bersara wajib. Terdahulu, Kebawah Duli Yang Maha Mulia Pemangku Raja turut mengampuni perkenan menerima kunjungan hormat Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Sumber Manusia dan Tugas-Tugas Khas Negeri, Yang Berhormat Dato’ Sri Norol Azali Bin Sulaiman bersama pegawai-pegawai kanan Jabatan Pendidikan Negeri Pahang (JPNP).

Pegawai kanan Jabatan Pendidikan Negeri diketuai Timbalan Pengarah, Tajuddin Mohd Yunus, Ketua Sektor Pengurusan Sekolah, Abdul Rahim Mohd Yunus, Guru Besar Sekolah St. Thomas, Mohd Sabri bin Mod Arshad serta Ketua Unit Perhubungan JPNP, Jamalludin bin Samsudin.