KUALA LUMPUR. 8 Febuari 2018 Bersamaan 22 Jamadilawal 1439H – Kebawah Duli Yang Maha Mulia Pemangku Raja Pahang, Tengku Mahkota Tengku Abdullah Al-Haj Ibni Sultan Haji Ahmad Shah Al-Musta’in Billah hari ini bercemar duli menghadiri Sidang Kemuncak Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) 2018 di Hotel Sofitel, Phnom Penh Kemboja.

Baginda yang juga Ahli Majlis FIFA akan menyertai persidangan yang dijadualkan selama tiga hari bermula esok sehingga 11 Febuari ini. Ia turut dihadiri Presiden FIFA, Gianni Infantino.

Baginda merupakan mantan Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM). Selepas memainkan peranan utama dalam Kejohanan Remaja Dunia FIFA Malaysia 1997, baginda menjadi Naib Presiden Gabungan Persatuan Bola Sepak Asia (AFC) dan telah berkhidmat dalam pelbagai Jawatankuasa AFC dan FIFA.

Sementara itu, menurut sumber, butiran penuh berkenaan sidang kemuncak berkenaan belum dikeluarkan oleh FIFA dan ia merupakan kunjungan pertama Infantino ke Kemboja.

Setiausaha Agung Persekutuan Bola Sepak Kemboja (FFC) May Tola dalam kenyataannya memaklumkan bahawa satu sidang media turut akan diadakan esok (Jumaat) selepas hari pertama persidangan selesai.