KUALA LUMPUR. 9 Febuari 2018 Bersamaan 23 Jamadilawal 1439H – Kebawah Duli Yang Maha Mulia Pemangku Raja Pahang, Tengku Mahkota Tengku Abdullah Al-Haj Ibni Sultan Haji Ahmad Shah Al-Musta’in Billah hari ini bercemar duli menghadiri mesyuarat Sidang Kemuncak Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) 2017/2018 bersama para perwakilan FIFA dari seluruh dunia di Hotel Sofitel, Phnom Penh Kemboja.

Sidang Kemuncak FIFA 2017/2018 adalah siri persidangan di mana pemimpin membincangkan inisiatif pembaharuan dan pembangunan yang bertujuan untuk menggalakkan tadbir urus sukan yang paling popular di dunia ini.

Siri terbaru ini bermula di Baja, Azerbaijan, pada November 2017 dan akan berakhir di Lima, Peru, pada bulan Mac.

Tengku Abdullah yang juga Ahli Majlis FIFA mengikuti sidang kemuncak tersebut yang turut meletakkan matlamat untuk membina hubungan antara Kemboja dan FIFA sebagai manfaat daripada Program Pembangunan FIFA Forward.

Dalam pada itu dana yang bakal disalurkan akan membantu Kemboja membangunkan potensi serta bakat yang ada dalam sukan bola sepak.

Antara agenda yang dibentangkan pada sidang kemuncak kali ini ialah galakan pertandingan melibatkan kelab, belia dan wanita FIFA, bagaimana untuk meningkatkan sistem perpindahan dan kalendar kejohanan antarabangsa, FIFA Forward Programme serta perkara-perkara yabg dibangkitkan dalam FIFA oleh ahli majlis.

Berdasarkan cadangan yang dibawa, topik utama yang akan dibincangkan pada sidang kemuncak pada tahun ini ialah Fifa Forward Programme – melihat ke depan untuk kitaran seterusnya serta masa depan kejohanan-kejohanan remaja, wanita dan kelab anjuran FIFA.

Fokus lain ialah mencari cara terbaik untuk memperbaiki sistem perpindahan pemain dan jadual perlawanan antarabangsa serta keutamaan-keutamaan FIFA yang telah dibangkitkan oleh ahli persatuan sendiri.

Sementara itu, memetik kata-kata Presiden FIFA, Gianni Infantino ketika melancarkan siri ini di Paris pada tahun 2016, beliau menekankan kepentingan kerjasama dan komunikasi di kalangan 211 ahlinya.

“Adalah penting bahawa pada masa akan datang keputusan FIFA tidak ditentukan pengurusan atasan sahaja tetapi ia datang daripada mereka yang perlu melibatkan diri dan menyusun agenda bola sepak di negara masing-masing,” katanya.