KUANTAN. 10 Febuari 2018 Bersamaan 24 Jamadilawal 1439H – Kebawah Duli Yang Maha Mulia Pemangku Raja Pahang, Tengku Mahkota Tengku Abdullah Al-Haj Ibni Sultan Haji Ahmad Shah Al-Musta’in Billah bertitah agar semua pihak memelihara alam sekitar yang menjadi faktor penarik utama sektor perlancongan ke negeri ini.

Baginda bertitah, alam sekitar yang bersih dan terpelihara berpotensi besar menarik kedatangan pelancong, seterusnya meningkatkan ekonomi negeri.

“Tanggungjawab terhadap alam sekitar bukan hanya dipikul oleh kerajaan semata-mata, malah semua masyarakat kerana ia sesuatu yang dikongsi bersama-sama.

“Saya amat berharap pihak kerajaan, swasta serta rakyat di negeri ini memainkan tanggungjawab masing-masing dan lebih komited dalam menjaga dan memelihara alam sekitar.

“Ini demi menjamin kelangsungan hidup generasi kini dan akan datang menerusi penjagaan alam sekitar secara berterusan. Dari sudut pelancongan pula, lebih banyak peluang pekerjaan dapat disediakan di samping menggiatkan perniagaan hiliran seperti kedai makan, kedai cenderamata dan pengangkutan..turut sama menambah kadar penginapan (occupancy rate) kira-kira 30,000 bilik yang ditawarkan di negeri Pahang,” titah baginda pada Majlis Penghargaan Visit Pahang Malaysia 2017 anjuran Tourism Pahang di Hotel Grand Darul Makmur, di sini.

Majlis tersebut merupakan tanda penghargaan terhadap segala sokongan dan kerjasama yang telah diberikan pihak kerajaan dan swasta yang terlibat sepanjang kempen Tahun Melawat Pahang 2017 dijalankan.

Turut hadir sama ialah Menteri Besar Pahang Datuk Seri Adnan Yaakob, Ketua Pengarah Tourism Malaysia, Datuk Seri Mirza Muhammad Taiyab serta Pengerusi Jawatankuasa Perlancongan dan Kebudayaan Pahang, Datuk Seri Mohd Sharkar Shamsudin.

Sementara itu, baginda bertitah, penghargaan yang diberikan kepada semua pihak menjadi platform kerjasama berterusan dalam mempromosi negeri ini, bukan sahaja di peringkat negara tetap antarabangsa.

“Kalau tak promosi bersungguh-sungguh, kita akan ketinggalan berbanding negeri lain. Usaha ini perlu libatkan lebih ranai individu…perlu lantik duta-duta di kalangan syarikat mahupun orang korporat, selebriti tanah air yang mampu melebarkan usaha promosi Pahang dengan lebih luas.

“Kita jadikan mereka sebagai ikon negeri Pahang, yang dapat menggalakkan pelancong berkunjung ke negeri ini dan mencuba pelbagai produk perlancongan yang ada,” titah baginda.