KLANG. 12 Februari 2018 Bersamaan 26 Jamadilawal 1439H – Majlis Ugama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang (MUIP) meneruskan usaha memantapkan pengurusan badan berkenaan dengan kunjungan rasmi ke Istana Alam Shah, Selangor yang diadakan hari ini.

Kunjungan berkenaan diketuai Yang Dipertua MUIP, Kebawah Duli Yang Maha Mulia Pemangku Raja Pahang, Tengku Mahkota Tengku Abdullah Al-Haj Ibni Sultan Haji Ahmad Shah Al-Musta’in Billah yang bercemar duli hadir untuk bertukar pandangan bersama pihak Majlis Agama Islam Selangor (MAIS).

Keberangkatan tiba baginda ke istana berkenaan pada jam 10.10 pagi disambut oleh Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj Ibni Almarhum Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah Alhaj.

Pada kunjungan dan pertemuan itu, kedua-dua figura utama di negeri masing-masing bersama delegasi bertukar maklumat, pandangan berkenaan pengurusan, aktiviti serta cadangan berkaitan sebagai usaha memantapkan operasi kedua-dua institusi.

Beberapa isu utama bertaraf global turut dibangkitkan pada pertemuan tersebut termasuk berkenaan ancaman kumpulan militan (IS) serta ajaran sesat. Usaha mengekang ancaman tersebut daripada berlaku menjadi antara topik perbincangan.

Pada majlis berkenaan, Tengku Abdullah dan para rombongan turut mendengar taklimat yang disampaikan oleh Pengerusi Perbadanan Wakaf Selangor, YAD Dato’ Setia Ramli bin Mahmud, Ketua Polis Selangor, YDH CP Dato’ Pahlawan Mazlan bin Mansor serta Pengarah JAIS, YBhg. Dato’ Haris bin Kasim.

Pada kunjungan berkenaan juga Tengku Abdullah berkesempatan melawat Masjid Istana Diraja, Galeri Bola Sepak Diraja Selangor selain singgah ke galeri yang menempatkan koleksi kenderaan Sultan Selangor.

Turut sama dalam kunjungan berkenaan ialah Yang Berhormat Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Sri Muhammad Safian Ismail, Timbalan Yang Dipertua MUIP, YDH Orang Kaya Indera Pahlawan, Dato’ Sri Wan Haji Abdul Wahid bin Haji Wan Hassan, Sahibus Samahah Mufti Pahang, Dato’ Sri Dr. Haji Abdul Rahman bin Haji Osman, Pengarah Jabatan Agama Islam Pahang (JAIP), YH Dato’ Haji Mohamad Noor bin Abdul Rani, Yang Berbahagia Prof. Emeritus Tan Sri Dato’ Dr.Abdul Sukor bin Haji Husin, YH Prof. Dato’ Dr. Abdul Monir bin Yaacob dan Setiausaha MUIP, YH Dato’ Ahmad Hairi bin Hussain.

Turut sama, Ketua Polis Pahang, YDP CP Dato’ Sri Mohd Rosli bin Abd Rahman, Setiausaha Sulit Khas Kepada Kebawah Duli Yang Maha Mulia Sultan Pahang, Leftenan Kolonel (B), Tuan Haji Nor Hashim bin Abdul Aziz.