KUALA LUMPUR. 13 Februari 2018 Bersamaan 27 Jamadilawal 1439H -Pemergian Ahli Parlimen Paya Besar, Dato’ Sri Haji Abdul Manan Ismail, 70, yang meninggal dunia petang semalam turut dirasai Pemangku Raja Pahang,¬†Kebawah Duli Yang Maha Mulia Pemangku Raja Pahang, Tengku Mahkota Tengku Abdullah Al-Haj Ibni Sultan Haji Ahmad Shah Al-Musta’in Billah.

“Sedih…ia satu kehilangan besar seorang hamba Allah, seorang yang setia kepada raja dan setia kepada pemimpin negara dan seorang yg amat prihatin terhadap keperluan rakyat. Sesungguhnya Allah SWT lebih menyayanginya,” titah baginda.

Pemangku Raja Pahang bercemar duli ke Masjid Al-Hidayah, Taman Melawati kira-kira pukul 10.45 pagi untuk menziarahi jenazah serta bertemu balu dan anak-anak Allahyarham. Baginda turut menunaikan solat jenazah bersama jemaah lain yang hadir sebelum dibawa ke Tanah Perkuburan Klang Gate.

Allahyarham disahkan meninggal dunia pada pukul 6.45 petang semalam di rumahnya di Taman Melawati, Kuala Lumpur selepas ditemui terjatuh di bilik tidur.

Abdul Manan juga merupakan Pengerusi Perbadanan Harta Intelek Malaysia (MyIPO) dan pernah berkhidmat sebagai Setiausaha Sulit Khas kepada Perdana Menteri, Dato’ Sri Haji Mohd Najib Tun Haji Abdul Razak bermula dari tahun 1986 hingga 2004.

Turut memuliakan keberangkatan Kebawah Duli Pemangku Raja Pahang ialah YB Setiausaha Kerajaan Negeri Pahang yang juga adik kepada Allahyarham, YH Dato’ Sri Haji Muhammad Sufian, Timbalan Menteri Sumber Manusia, YB Dato’ Sri Haji Ismail Haji Muttalib, ahli-ahli Exco, pegawai-pegawai kanan Kerajaan Negeri Pahang, serta pemimpin-pemimpin kanan parti politik.

Turut sama,Yang Amat Berhormat Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Diraja Haji Adnan Yaakob hadir menziarahi jenazah di Tanah Perkuburan Islam Klang Gate sehingga selesai majlis pengkebumian.