KUANTAN. 23 Febuari 2018 bersamaan 7 Jamadilakhir 1439 Hijrah– Kebawah Duli Yang Maha Mulia Pemangku Raja Pahang, Tengku Mahkota Tengku Abdullah Al-Haj Ibni Sultan Haji Ahmad Shah Al-Musta’in Billah menyifatkan rakyat di negeri ini bertuah dengan kewujudan projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL). Baginda bertitah, projek mega yang diilhamkan Yang Amat Berhormat Perdana Menteri Dato’ Sri Haji Mohd Najib Tun Abdul Razak tersebut merupakan  ‘projek keretapi rakyat’.

“Pahang bertuah kerana kita terletak tengah-tengah dan hal ini secara langsung mampu memberi nilai tambah kepada Pahang.

“Ia bukan sahaja mampu menjadi pencetus perubahan dan pemangkin pertumbuhan ekonomi baharu di Pantai Timur, tetapi dapat merapatkan lagi hubungan rakyat di negara ini apabila jangka masa perjalanan antara Pantai Timur dan Lembah Klang dapat disingkatkan,” titah baginda ketika merasmikan Ibu Pejabat Tanah Makmur Berhad (TMB) dan Galeri Jualan KotaSAS di sini, hari ini.

Majlis turut dihadiri oleh Yang Amat Berhormat Menteri Besar, Dato’ Sri Diraja Adnan Hj Yaakob dan Pengarah Eksekutif Tanah Makmur Berhad Tengku Amir Nasser Tengku Ibrahim. Pada majlis tersebut, Pemangku Raja Pahang turut menyaksikan majlis menandatangani perjanjian persefahaman (MoU) antara TMB dengan Kerajaan Negeri, yang diwakili Dato’ Sri Diraja Haji Adnan Haji Yaakob dan Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Sri Muhammad Safian Ismail.

TMB dengan Yayasan Pahang dan TMB dengan SPNB Aspirasi Sdn Bhd yang turut menandatangani MoU. Baginda menganggap projek ECRL ini adalah untuk kemudahan rakyat kerana ia dapat dekatkan lagi rakyat Pahang, Kelantan dan Terengganu dengan Selangor (Lembah Klang).

Jelas baginda lagi, selain dapat menjadi penghubung kepada rakyat di kawasan Pantai Timur dan Lembang Klang, projek ECRL itu juga dilihat mampu untuk memangkin kepada pertumbuhan bandar-bandar baharu di sepanjang 688 laluan pembinaan landasannya termasuk di Pahang. Sementara itu, Tengku Abdullah bertitah, pembangunan untuk menjadikan KotaSAS sebagai pusat pentadbiran baharu kerajaan negeri kini sedang giat dilakukan.

“Tumpuan pembangunan infrastruktur dan hartanah kini tertumpu di sini (KotaSAS) dan kini kita lihat ia berkembang menjadi bandar baharu dengan pelbagai kemudahan infrastruktur sedang di bina di sini.

“Ia termasuk kemudahan untuk pusat pentadbiran kerajaan negeri yang kini sudah siap 30 peratus dan dijangka akan siap pada 2020 yang bakal dilengkapi dengan hospital, dan bangunan baharu untuk Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia serta polis,” titah baginda.

Dalam masa yang sama baginda turut berharap keadaan persekitaran alam sekitar di KotaSAS akan menjadi lebih baik pada masa depan dan memberi keselesaan kepada masyarakat yang bakal menduduki bandar baharu Kuantan itu.