KUALA LIPIS. 28 Febuari 2018 bersamaan 12 Jamadilakhir 1439 Hijrah – Kebawah Duli Yang Maha Mulia Pemangku Raja Pahang, Tengku Mahkota Tengku Abdullah Al-Haj Ibni Sultan Haji Ahmad Shah Al-Musta’in Billah bertitah agar kawasan hutan di Merapoh yang diluluskan untuk pembangunan pertanian diwartakan sebagai kawasan hutan simpan kekal. Titah baginda, langkah itu perlu memandangkan kawasan berkenaan berada di kawasan pelancongan yang mempunyai pelbagai khazanah alam semulajadi yang mampu menarik kunjungan pelancong dari dalam dan luar negara.

“Saya hendak kawasan ini disusuli pembaikan dan rehabilisasi malah status kawasan ini yang belum diteroka ditukarkan status kepada hutan simpan kekal supaya tidak boleh diteroka.

“Usaha-usaha tanam semula juga perlu dilakukan bagi membaikpulih kawasan-kawasan yang rosak akibat kerja-kerja pembalakan,” titah baginda pada program taklimat ke kawasan pembalakan Hutan Merapoh di Lipis, Pahang.

Kawasan Hutan Merapoh seluas 687 hektar yang diberi  hak milik kepada PKPP sejak 1992 mula dibangunkan untuk pembangunan kelapa sawit dengan proses pembalakan pada Jun 2017. Bagaimanapun proses penerokaan di kawasan itu dihentikan pembalakan pada 15 November 2017 kerana gagal menyediakan Laporan Penilaian Kesan Alam Sekitar (EIA) kepada Jabatan Alam Sekitar  di bawah Perintah Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974. Dalam tempoh berkenaan sebanyak 30 peratus kawasan hutan berkenaan telah diteroka manakala sebanyak 468 hektar masih belum diterokai yang kebanyakannya adalah kawasan tinggi dan berbukit.

Hadir sama, Menteri Besar, Dato’ Sri Diraja Adnan Haji Yaakob, Setiausaha Kerajaan Negeri Pahang, Dato’ Sri Muhammad Safian Ismail, Pengarah Perhutanan Negeri, Dato’ Dr. Mohd Hizamri Mohd Yasin dan Ketua Pegawai Eksekutif, Perbadanan Kemajuan Pertanian negeri Pahang  (PKPP), Dato’ Wan Bakri Wan Ismail. Dalam pada itu, baginda menitahkan kerajaan negeri dan agensi berkaitan agar tidak terlalu bergantung terhadap hasil balak dan tanah sebaliknya mencari sumber hasil pendapatan lain pada masa akan datang selain memfokuskan terhadap usaha rehabilitasi hutan.

“Kerajaan negeri harus berpandangan jauh..perlu fikir cara supaya tidak terlalu bergantung pada hasil balak dan hasil tanah bagi tujuan pembangunan. Hutan dara perlu dikekalkan, mana yang ada sungai bersih, sungai yang tidak rosak perlu dipelihara.

“Itulah aset khazanah kepunyaan kita dan perlu diwarisi untuk generasi akan datang. Saya bimbang, mungkin satu hari bila tiada kesedaran, alam sekitar akan musnah tanpa pembelaan”, titah baginda.

Dalam pada masa yang sama, baginda turut menyarankan agar Pejabat Perhutanan negeri memantau sebarang aktiviti pembukaan tanah di negeri ini dan pemberian lesen kepada syarikat terlibat, bagi menjaga khazanah alam yang masih terpelihara.