PEKAN. 5 Mac 2018 bersamaan 17 Jamadilakhir 1439 Hijrah- Kebawah Duli Yang Maha Mulia Pemangku Raja Pahang, Tengku Mahkota Tengku Abdullah Al-Haj Ibni Sultan Haji Ahmad Shah Al-Musta’in Billah dan Kebawah Duli Yang Teramat Mulia Tengku Puan Pahang, Tunku Hajjah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah binti Almarhum Almutawakkil Alallah Sultan Iskandar Al-Haj bercemar duli berangkat menziarahi jenazah Almarhum Yang Mulia Tengku Dato’ Sri Haji Iskandar Abu Bakar bin Tengku Ali, di sini semalam. Turut mengiringi baginda, paduka kekanda Yang Amat Mulia Tengku Puteri Seri Kemala Pahang Tengku Hajjah Dato’ Aishah, paduka-paduka adinda Yang Amat Mulia Tengku Muda Pahang Tengku Abdul Rahman Al-Haj, Yang Amat Mulia Tengku Puteri Seri Bongsu Pahang Tengku Dato’ Hajjah Shahariah dan paduka anakanda Yang Mulia Tengku Amir Nasser Ibrahim.

Almarhum Tengku Dato’ Sri Iskandar, 70 tahun merupakan anakanda saudara kepada Kebawah Duli Yang Maha Mulia Sultan Pahang, Sultan Haji Ahmad Shah dan merupakan sepupu kepada Pemangku Raja Pahang disahkan mangkat kira-kira pukul 11.20 pagi semalam di Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) Kuantan. Tengku Iskandar juga Orang Besar Berlapan yang membawa gelaran Dato’ Setia Pahlawan dan Ahli Jumaah Pangkuan Diraja Pahang.

Pemangku Raja Pahang dan Tengku Puan Pahang turut menunaikan solat jenazah berjemaah selepas solat Asar di Masjid Sultan Ahmad Shah. Baginda berdua turut mengiringi jenazah hingga ke Tanah Perkuburan bersebelahan Makam Diraja dan menyiram air tahlil di pusara Tengku Iskandar.

Turut sama menziarah, Yang Amat Berhormat Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Diraja Haji Adnan Haji Yaakob, pembesar istana dan kaum kerabat Pahang.