MELAKA. 7 Mac 2018 bersamaan 19 Jamadilakhir 1439H – Kebawah Duli Yang Teramat Mulia Tengku Puan Pahang, Tunku Hajjah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah binti Almarhum Almutawakkil Alallah Sultan Iskandar Al-Haj bercemar duli berangkat di Majlis Perasmian Melaka Chef Club yang berlangsung di Hotel Balik Pulau di sini hari ini. Hadir sama, YAB Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Utama Ir. Haji Idris bin Haji Haron serta isteri, Datin Seri Fadilah Abdullah.

KDYTM Tengku Puan Pahang yang juga merupakan Penaung Kelab Chef Melaka berkenan menyempurnakan majlis perasmian serta turut berkenan mengurniakan Anugerah Tourism Hero kepada YAB Ketua Menteri Melaka, sebagai penganugerahan atas komitmen beliau menjadikan Melaka negeri pelancongan termasyhur di dunia.

Kelab Chef Melaka bakal dipimpin oleh anak jati Melaka, Chef Ridzwandy bin Perin sebagai pengerusi kelab manakala Dato’ Chef Pari Subramaniam dilantik sebagai penasihat. Penubuhan kelab ini akan memberi peluang kepada 400 cef di negeri tersebut untuk menonjolkan bakat mereka serta menjadi setanding dengan cef-cef terkemuka dunia.