BENTONG. 9 Mac 2018 Bersamaan 21 Jamadilakhir 1439 Hijrah – Johan menunggu, Zul Hasyimi Mohamed Yunus dan Nur Hafizah Ahmad Tajuddin yang mewakili Daerah Bera muncul johan qari dan qariah pada Majlis Tilawah Al-Quran Peringkat Negeri Pahang Kali Ke-61 yang berlangsung di Dewan Jubli Perak Sultan Haji Ahmad Shah, Bentong, malam tadi.

Johan bagi kedua kategori itu menerima piala, sijil dan hadiah-hadiah iringan berserta wang tunai RM7,000. Zul Hasyimi dan Hafizah akan wakili negeri Pahang ke Majlis Tilawah Al-Quran Peringkat Kebangsaan April nanti.

Naib johan qari disandang Imam 1 Masjid Negeri, Mohd Khalil Mohd Zari yang mewakili daerah Kuantan dan tempat ketiga kategori qari dimenangi, Imam Masjid Muadzam Shah, Mohd Fadzli Ishak yang mewakili Daerah Muadzam Shah. Manakala naib johan kategori qariah disandang wakil Daerah Lipis, Siti Maisarah Ab Ghani dan tempat ketiga, Siti Esah Abd. Ghani yang mewakili Daerah Bentong.

Pemenang kedua dan ketiga bagi kedua-dua kategori masing-masing membawa pulang hadiah iringan berserta wang tunai RM5,000 dan RM3,000. Dua peserta setiap kategori dipilih menerima hadiah sagu hati terbaik pada majlis tilawah tahun ini. Mereka ialah Ahmad Naiem Mohd@Mat Isa mewakili Daerah Jerantut, Ahmad Fikri Abdul Karim (Daerah Pekan), Rohaiza Kamarudin (Cameron Highlands) dan wakil daerah Raub, Noorkamalia Kamaruddin.

Majlis Tilawah Al-Quran tahun ini yang berlangsung selama tiga hari berturut-turut disertai oleh 15 orang qari dan 14 orang qariah yang mewakili daerah-daerah. Majlis pengurniaan hadiah-hadiah bagi kategori qari dan cenderahati kepada Jemaah Hakim telah disempurnakan oleh Kebawah Duli Yang Maha Mulia Pemangku Raja Pahang, Tengku Mahkota Tengku Abdullah Al-Haj Ibni Sultan Haji Ahmad Shah Al-Musta’in Billah.

Manakala pengurnian hadiah kategori qariah disempurnakan oleh Kebawah Duli Yang Teramat Mulia Tengku Puan Pahang, Tunku Hajjah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah binti Almarhum Almutawakkil Alallah Sultan Iskandar Al-Haj.

Turut hadir, Yang Amat Berhormat Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Diraja Haji Adnan Haji Yaakob, Yang Berhormat Pengerusi Jawatankuasa Dakwah Islamiah dan Tugas-tugas Khas Negeri, Dato’ Sri Haji Syed Ibrahim Syed Ahmad dan Isteri, YDH Orang Kaya Indera Pahlawan, Dato’ Sri Wan Haji Abdul Wahid Wan Hassan dan Isteri.

Hadir sama, YB Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal FELDA Negeri, Dato’ Sri Abu Bakar Haji Harun, Pengarah Jabatan Agama Islam Pahang (JAIP), YH Dato’ Haji Mohamad Noor Abdul Rani dan Sahibus Samahah Mufti Pahang, YH Dato’ Sri Dr. Haji Abdul Rahman Haji Osman.