BENTONG. 9 Mac 2018 Bersamaan 21 Jamadilakhir 1439 Hijrah -Kebawah Duli Yang Maha Mulia Pemangku Raja Pahang, Tengku Mahkota Tengku Abdullah Al-Haj Ibni Sultan Haji Ahmad Shah Al-Musta’in Billah bertitah tanggungjawab memelihara kesucian agama bukan hanya terletak pada institusi diraja dan kerajaan malah turut menjadi tanggungjawab semua pihak berkenaan.

Tengku Abdullah bertitah, usaha itu tidak akan berjaya sekiranya ia juga tidak mendapat kerjasama rakyat beragama Islam di negeri ini.

Titah baginda sepertimana yang dianjurkan oleh agama Islam perpaduan merupakan satu perkara penting yang mesti diberikan perhatian.

“Kita tidak mahu negeri Pahang ini berada di dalam keadaan kucar-kacir yang mana kita sesama Islam berpecah belah dan seterusnya tidak menggambarkan Islam ini benar-benar satu agama yang boleh  menyatukan kita sebagai hamba Allah dan umat Nabi Muhammad.

“Sebab itu ucapan dan mesej dari al-Quran ini adalah berkaitan dengan kesatuan dan apabila kita  kita hadir acara seperti ini kita harus panjangkan mesej ini (kesatuan) kepada anak-anak, cucu-cucu dan rakan-rakan kita dimana sekali pun kerana inilah komitmen dan tanggungjawab kita bersama,” titah baginda pada Majlis Tilawah al-Quran kali ke-61 peringkat negeri Pahang 2018 di Dewan Jubli Perak Sultan Haji Ahmad Shah di sini malam tadi.

Berangkat mengiringi Pemangku Raja Pahang, Kebawah Duli Yang Teramat Mulia, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah binti Almarhum Almutawakkil Alallah Sultan Iskandar Al-Haj.

Turut hadir Yang Amat Berhormat Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Haji Adnan Haji Yaakob yang juga merangkap Pengerusi Agama Islam negeri.

Dalam pada itu, Tengku Abdullah bertitah, semua pihak harus memberikan komitmen dan memainkan peranan dalam memastikan penyatuan ummah, tidak mengharapkan pihak tertentu sahaja.

“Ia (kesatuan ummah) bukan semata-mata mengharapkan institusi di raja atau kerajaan yang memerintah atau wakil rakyat setempat atau pegawai daerah tambahan lagi mengharapkan mufti, imam atau bilal.

“Ini tidak akan jadi kalau hati kita di peringkat mana sekali pun tidak mahu menghulur tangan dan  bersatu padu dan tidak mahu bersama-sama menghayati mesej yang disampaikan,”titah baginda.

Sementara itu, Adnan berkata, perpecahan umat Islam di negara ini yang berpecah kepada enam kelompok pada masa ini perlu dibendung kerana akan memberikan kesan yang negatif kepada umat Islam.

Justeru katanya, institusi raja merupakan satu pusat tumpuan penting sebagai tempat untuk umat Islam khususnya kaum Melayu bersatu padu.

“Umat Melayu umat Islam di negara ini wajib bersyukur terhadap Allah kerana dengan takdir Allah umat melayu Islam di negara ini memeluk agama Islam kerana raja pada mulanya memeluk agama Islam dan diikuti rakyat jelata sekalian,”ujarnya.

Turut memuliakan keberangkat Pemangku Raja Pahang, Yang Berhormat Pengerusi Jawatankuasa Dakwah Islamiah dan Tugas-Tugas Khas, Dato’ Sri Haji Syed Ibrahim Syed Ahmad dan Isteri, YDH Orang Kaya Indera Pahlawan, Dato’ Sri Haji Wan Abdul Wahid Wan Hassan dan Isteri dan Pegawai Daerah Bentong, YH Dato’ Azhar bin Haji Arshad.

Hadir sama, YB Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Felda, Dato’ Sri Abu Bakar Harun, Pengarah Jabatan Agama Islam Pahang (Jaip), YH Dato’ Mohd Noor Abdul Rani dan Sahibus Samahah Mufti Pahang, YH Dato’ Sri Dr Haji Abdul Rahman Haji Osman, Ketua Polis Pahang, YH Dato’ Sri Rosli Abd Rahman dan Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Negeri Pahang, YH Dato’ Abdul Wahab Mat Yasin, Ahli-Ahli Jumaah Pangkuan Diraja Negeri dan Pegawai-Pegawai Kanan Negeri dan Daerah Bentong.