CAMERON HIGHLANDS. 10 Mac 2018 bersamaan 22 Jamadilakhir 1439 Hijrah – Kebawah Duli Yang Teramat Mulia Tengku Puan Pahang, Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah binti Almarhum AlMutawakkil Alallah Sultan Iskandar Al-Haj berkenan merasmikan Taman Rama-Rama Tunku Azizah Iskandar di Taman Agroteknologi MARDI, Tanah Rata sempena program Women Walk The World.

Bersempena perasmian taman tersebut, baginda berkenan melepaskan rama-rama dan juga menanam pokok bunga Manuka iaitu sejenis pokok tumbuh di kawasan bersuhu sederhana dan hidup subur di kawasan persekitaran yang kering.

Sebelum pada itu, Tunku Azizah bersama-sama 500 ahli Pertubuhan Perkumpulan Perempuan (WI) Negeri Pahang dan Persatuan Pandu Puteri Malaysia Cawangan Pahang berkumpul di Dewan Gemilang SMK Sultan Ahmad Shah untuk bersama-sama berjalan ke Pusat Penyelidikan MARDI. Ketibaan baginda disambut kakitangan pusat berkenaan dan baginda diiringi ke Pusat Maklumat bagi menghadiri sesi taklimat yang disampaikan oleh Pegawai MARDI. Manakala ahli-ahli yang lain dibawa menjalani aktiviti menanam, menyemai benih dan juga menanam keratan pokok.

Taman Rama-Rama Tunku Azizah Iskandar berkeluasan 220 meter persegi mempunyai lebih 200 koleksi rama-rama terdiri daripada 15 jenis spesies menjadi tarikan terbaru kepada pelawat-pelawat di pusat peranginan Cameron Highlands. Taman yang dibina berkonsepkan kontemporari Inggeris memberi peluang kepada pengungjung melihat dengan lebih dekat pelbagai spesies rama-rama serta didedahkan mengenai kitaran hidupan dan pengetahuan pembiakan serangga berkenaan.

Hadir sama, YB Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wanita dan Keluarga, Komunikasi dan Multimedia Negeri, Dato’ Sri Hajah Shahaniza binti Shamsuddin.