KUANTAN 16 April 2018 Bersamaan 30 Rejab 1439 Hijrah – Pemangku Raja Pahang, Kebawah Duli Yang Maha Mulia Tengku Abdullah Al-Haj Ibni Sultan Haji Ahmad Shah Al-Mustain Billah mengampuni limpah perkenan menerima kunjungan menghadap Ketua Pengarah Dewan Bahasa Dan Pustaka (DBP), Yang Hormat Datuk Haji Abdul Adziz Abas di Istana Abdulaziz di sini hari ini.

Kunjungan hormat tersebut turut diserta pegawai-pegawai kanan DBP, Timbalan Ketua Pengarah (Dasar) DBP, Yang Hormat Datuk Abang Sallehuddin Abang Shokeran, Pengarah Jabatan Pengembangan Bahasa dan Sastera DBP, Puan Padilah Haji Ali dan Ketua Bahagian Promosi dan Pengiktifan DBP, Puan Aminah Awang Besar.

Turut bercemar duli mengiringi baginda pada majlis tersebut ialah Kebawah Duli Yang Teramat Mulia Tengku Puan Pahang, Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandarian binti Almarhum Almutawakkil Alallah Sultan Iskandar Alhaj.

Pertemuan itu, baginda berdua dipersembahkan taklimat ringkas Majlis Titah Diraja anjuran DBP, yang akan dihadiri oleh baginda berdua pada 26 April ini.

Rombongan DBP turut dibawa melawat Bilik Perpustakaan peribadi baginda yang menyimpan pelbagai koleksi buku-buku dan baginda berdua turut mengampuni perkenan bergambar kenangan sebelum rombongan DBP meninggalkan Istana Abdulaziz.