PEKAN 9 Mei 2018 Bersamaan 23 Syaaban 1439 Hijrah – Kebawah Duli Yang Teramat Mulia Tengku Puan Pahang,Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah tidak terkecuali menunaikan tanggung jawab sebagai seorang warganegara apabila baginda bercemar duli membuang undi di sini hari ini.

Baginda yang memakai busana berwarna biru berangkat tiba pada pukul 9.40 pagi di Pusat Pembuang Undi, di Sekolah Kebangsaan Terentang.

Baginda mematuhi peraturan apabila turut sama beratur dengan rakyat untuk mengambil giliran mengundi di saluran 2.

Hadir sama, calon Barisan Nasional (BN) bagi DUN Bebar, Yang Hormat Dato’ Fakhruddin Mohd Ariff.

Calon BN bagi kerusi Parlimen Pekan ialah Yang Amat Berhormat Perdana Menteri Malaysia, Dato’ Sri Haji Mohd Najib Tun Haji Abdul Razak yang berhadapan pertandingan empat penjuru.

Dato’ Sri Mohd Najib selaku calon parlimen Pekan turut kelihatan meninjau perkembangan di Pusat Mengundi SK Sri Terentang dan menemui pengundi-pengundi.

Terdahulu jam 9.30 pagi, turut mengundi ialah paduka-paduka anakanda Kebawah Duli Yang Sultan Pahang, Yang Amat Mulia Tengku Puteri Seri Lela Wangsa Pahang Tengku Tan Sri Hajjah Meriam binti Sultan Haji Ahmad Shah Al-Musta’in Billah, suami dan anakanda-anakanda, dan Yang Amat Mulia Tengku Puteri Seri Kemala Pahang Tengku Hajjah Dato’ Aishah.

Turut mengundi di pusat yang sama, Yang DiPertua Dewan Undang Negeri Pahang, Yang Hormat Dato’ Sri Haji Ishak Muhammad dan Isteri.

DUN Bebar mempunyai seramai 15,002 pengundi dengan pecahan kaum Melayu sebanyak 68.8 peratus, Cina 0.91 peratus dan 1.2 peratus pengundi cina.