PEKAN. 12 Mei 2018 Bersamaan 26 Syaaban 1439 Hijrah – Kebawah Duli Yang Maha Mulia Pemangku Raja Pahang, Tengku Mahkota Tengku Abdullah Al-Haj Ibni Sultan Haji Ahmad Shah Al-Musta’in Billah bercemar duli berangkat menyempurnakan Istiadat Pengurniaan Darjah-Darjah Kebesaran dan Pingat-Pingat Negeri Pahang Darul Makmur yang berlangsung di Balairung Seri, Istana Abu Bakar di sini, hari ini. Mengiringi baginda, Kebawah Duli Yang Teramat Mulia Tengku Puan Pahang, Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah binti Almarhum AlMutawakkil Alallah Sultan Iskandar Al-Haj dan paduka anakanda Yang Mulia Tengku Amir Nasser.

Tujuh orang penerima mendahului istiadat apabila dianugerah Darjah Kebesaran Sultan Ahmad Shah Pahang Yang Amat Di Mulia, Peringkat Pertama, Sri Sultan Ahmad Shah Pahang (SSAP) yang membawa gelaran Dato’ Sri. Manakala empat orang menerima Darjah Kebesaran Sultan Ahmad Shah Pahang Yang Amat Di Mulia, Peringkat Kedua, Darjah Sultan Ahmad Shah Pahang (DSAP) dan 35 orang menerima Darjah Kebesaran Mahkota Pahang Yang Amat Mulia, Peringkat Kedua, Darjah Indera Mahkota Pahang (DIMP), keduanya membawa gelaran Dato’.

Darjah-Darjah dan Pingat lain, seramai enam orang menerima Setia Ahmad Shah Pahang (SAP), SMP (11), AAP (15), AMP (20), PKC (23), PKT (24) dan PJK (44).

Turut hadir kerabat bergelar, Yang Amat Mulia Tengku Besar Pahang, Tengku Kamil Ismail Tengku Idris Shah dan isteri Yang Berbahagia Cik Puan Tengah serta Yang DiHormat Orang Kaya Indera Pahlawan, Dato’ Sri Wan Haji Abdul Wahid Haji Wan Hassan dan isteri. Antara kenamaan lain, Ahli-Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Barisan Nasional, Pakatan Harapan dan PAS.

Istiadat penganugerahan diakhiri dengan bacaan doa yang dipimpin Shahibus Samahah, Dato’ Sri Dr. Haji Abdul Rahman Haji Osman.