PEKAN. 15 Mei 2018 bersamaan 29 Syaaban 1439 Hijrah  –  Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jelai, Dato’ Sri Wan Rosdy Wan Ismail mengangkat sumpah jawatan dan menerima tauliah pelantikan jawatan sebagai Menteri Besar Pahang menggantikan Dato’ Sri Diraja Haji Adnan Haji Yaakob, hari ini. Majlis Pengurniaan Surat Pelantikan dan Mengangkat Sumpah Jawatan Menteri Besar dan Ahli Majlis Kerajaan Negeri itu berlangsung di Balairung Seri, Istana Abu Bakar di sini.

Wan Rosdy merupakan ADUN Jelai sejak 2004 dan mempertahankan kerusi itu pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14) dalam pertembungan empat penjuru. Pemangku Raja Pahang Tengku Mahkota Tengku Abdullah Al-Haj Ibni Sultan Haji Ahmad Shah Al-Mustain Billah berkenan mengurniakan watikah pelantikan itu.

Manakala lima exco dikekalkan, ADUN Lanchang, Dato’ Sri Mohd Sharkar Shamsuddin, ADUN Kuala Sentul, Dato’ Sri Shahaniza Shamsuddin, ADUN Kerdau, Dato’ Sri Syed Ibrahim Syed Ahmad, ADUN Guai, Dato’ Sri Norol Azali Sulaiman dan ADUN Tioman, Dato’ Sri Mohd Johari Hussien.

Turut berkenan berangkat mencemar duli ke majlis tersebut, Tengku Puan Pahang, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah dan Yang Amat Mulia Tengku Muda Pahang, Tengku Abdul Rahman Al-Haj.

Istiadat di Balairung Seri, Istana Abu Bakar itu menyaksikan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lepar, Abd. Rahim Muda, ADUN Bebar, Dato’ Mohd Fakhruddin Mohd Ariff dan ADUN Pulau Tawar, Dato’ Nazri Ngah menjadi muka baharu dalam senarai Exco berkenaan. Ketiga-tiga mereka menggantikan ADUN Chini, Dato’ Sri Abu Bakar Harun, ADUN Dong, Dato’ Sri Shahiruddin Ab. Moin dan ADUN Benta, Dato’ Sri Ir. Mohd. Soffi Abdul Razak.

Sebelum ini, Abu Bakar memegang portfolio sebagai Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Felda negeri manakala Shahiruddin sebagai Pengerusi Jawatankuasa Koperasi, Keusahawanan dan Kepenggunaan negeri dan Mohd. Soffi sebagai Pengerusi Jawatankuasa Kemudahan Asas dan Alam Sekitar negeri.

Seorang lagi Exco yang tidak dipilih pada penggal ini ialah ADUN Inderapura, Dato’ Sri Shafik Fauzan Sharif yang sebelum ini merupakan Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Luar Bandar, Pertanian dan Industri Asas Tani negeri.

Tengku Abdullah turut berkenan mengurniakan watikah pelantikan berkenaan kepada semua Exco yang telah dilantik pada majlis sama.

Menteri Besar Pahang Baharu (7)

Menteri Besar Pahang Baharu (7)