PEKAN. 15 Mei 2018 bersamaan 29 Syaaban 1439 Hijrah  –  Pemangku Raja Pahang Tengku Mahkota Tengku Abdullah Al-Haj Ibni Sultan Haji Ahmad Shah Al-Mustain Billah menzahirkan hasrat untuk melihat pemimpin yang dipilih melaksanakan tanggungjawab tanpa mengira fahaman politik dan bekerjasama sebagai satu pasukan dalam membela nasib rakyat serta memajukan negeri.

Baginda bertitah, Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) telah berlalu dan rakyat telah pun bersuara, maka kini bukanlah masa untuk mengimbau zaman silam.

“Rapatkan kembali saf dan hentikan pertikaian dengan menjadikan perpaduan ummah sebagai agenda utama kita.

“Saya juga ingin berpesan kepada kerajaan negeri untuk membuka satu lembaran baharu dalam bekerjasama dengan Pusat, jangan jadikan perbezaan ideologi politik sebagai batu penghalang kepada kemakmuran negeri,” titah baginda selepas Majlis Pengurniaan Surat Pelantikan dan Mengangkat Sumpah Jawatan Menteri Besar dan Ahli Majlis Kerajaan Negeri di Balairung Seri, Istana Abu Bakar di sini hari ini. Turut berkenan berangkat mencemar duli ke majlis tersebut, Tengku Puan Pahang, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah.

Dalam pada itu, Tengku Abdullah bertitah, jalinan hubungan erat dan mewujudkan permuafakatan antara kerajaan negeri dan pusat perlu diberi perhatian khusus.

“Nasihat saya carilah titik persamaan terlebih dahulu dan selanjutnya sebarang perbezaan ditangani secara bijaksana lagi berhemah.

“Selaku Pemangku Raja Pahang saya sudah semestinya akan bekerjasama dengan kerajaan pada hari ini demi kepentingan dan kesejahteraan rakyat negeri ini,” titah baginda.

Titah baginda lagi, sejarah telah mengajar banyak erti kehidupan dan sejarah baharu ini menunjukkan suara rakyat adalah suara keramat.

“Kepada semua wakil rakyat santunilah rakyat, dengar suara rakyat, sentiasa berlaku adil dan jujur kepada rakyat, berkhidmatlah untuk memakmurkan negeri dan mensejahterakan rakyat,” titahnya.

Sementara itu, tegas baginda dalam landskap politik ketika ini, tugas seorang Menteri Besar adalah besar dan pemilihan tonggak utama negeri itu tidak boleh dilakukan sewenang-wenangnya.

“Pemilihan Menteri Besar perlu mengambil kira aspek kemakmuran dan kelangsungan pembangunan negeri. Kerana itu, istiadat ini telah saya lewatkan sedikit.

“Ini bagi memberi kesempatan kepada saya untuk membuat pertimbangan dan pemilihan yang tepat khususnya bagi mentadbir negeri ini,” titah baginda.

Berkhidmat Tanpa Kira Fahaman Politik (19)

Berkhidmat Tanpa Kira Fahaman Politik (19)