PEKAN 18 Mei 2018 Bersamaan 2 Ramadan 1439 Hijarah – Kebawah Duli Yang Maha Mulia Pemangku Raja Pahang Tengku Mahkota Tengku Abdullah Al-Haj Ibni Sultan Haji Ahmad Shah Al-Mustain Billah bercemar duli berangkat ke Majlis Berbuka Puasa bersama kira-kira 500 orang Pegawai dan Anggota Rijemen 505 Askar Wataniah di Kem Sungai Miang, di sini hari ini.

Turut mengiringi baginda, Kebawah Duli Yang Teramat Mulia Tengku Puan Pahang, Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah.

Pada majlis tersebut, baginda mengampuni perkenan mengurniakan sumbangan peribadi dan sumbangan daripada Majlis Ugama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang (Muip) kepada 150 orang golongan yang memerlukan yang terdiri daripada keluarga anggota askar wataniah.

Sumbangan berupa wang tunai dan barang-barang keperluan harian dan juga kuih-kuih raya.

Turut menerima sumbangan, kira-kira 50 orang kanak-kanak yang disempurnakan oleh Tengku Puan Pahang.

Kebawah Duli Yang Maha Mulia Pemangku Raja Pahang dan Tengku Puan turut menunaikan solat fardu maghrib berjemaah di surau kem tersebut yang di imamkan oleh Juara Pencetus Umah, Ustaz Nor Hamizi Jamaluddin (PU Mizi).

Hadir sama, Yang Amat Berhormat Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Wan Rosdy Wan Ismail dan Isteri, Yang Berbahagia Panglima 4 Brigade Mekanize, Dato’ Md Din Abu dan isteri, YB Yang DiPertua Dewan Undang negeri, Dato’ Ishak Muhammad dan isteri dan Timbalan Yang DiPertua Muip, YDH Orang Kaya Indera Pahlawan, Dato’ Sri Haji Wan Abdul Wahid Wan Hassan.

Antara kenamaan lain, YB Setiausaha Kerajaan negeri, Dato’ Sri Muhammad Safian Ismail, Ahli Dewan Undangan Negeri Peramu Jaya, YB Dato’ Sri Sheikh Puzi Sh. Ali dan Pegawai Daerah Pekan.