KUANTAN 19 Mei 2018 Bersamaan 4 Ramadan 1439 Hijrah – Kebawah Duli Yang Maha Mulia Pemangku Raja Pahang Tengku Mahkota Tengku Abdullah Al-Haj Ibni Sultan Haji Ahmad Shah Al-Mustain Billah menzahirkan rasa gembira dengan semangat kekitaan semua pihak dalam memantapkan usaha-usaha mendaulatkan syiar Islam khususnya di bulan Ramadan apabila umat Islam dapat menjalani ibadah puasa dengan aman dan tenteram.

Tengku Abdullah bertitah, janganlah ada mana-mana pihak yang cuba mencetuskan rasa kurang selesa dengan bertindak mewujudkan ketengangan dan permusuhan dikalangan rakyat sehingga boleh menjejaskan semangat permuafakatan dan perpaduan dikalangan rakyat.

“Semua pihak perlu mengenepikan sebarang sentimen emosi dan terus mengekalkan keharmonian kaum serta saling menghormati dan bertolenrasi diantara satu sama lain”.

“Negara kita adalah sebuah negara yang berbilang bangsa dan Agama, keharmonan yang tercipta ini adallah hasil tolenransi antara kaum dan Agama”, tegas baginda ketika bertitah pada majlis berbuka puasa dan pengurniaan sumbangan kepada golongan yang memerlukan di Masjid Kampung Paya Bungor, dekat sini hari ini.

Turut mengiringi baginda, Yang Amat Berhormat Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Wan Rosdy Wan Ismail.

Titah baginda, kemelut berlainan ideologi politik khususnya pemimpin Islam boleh diselesaikan dengan tekat semua pihak bersatu hati di rumah Allah yang suci dengan pendekatan taqwa sebagaimana firman Allah Subhanawata’ala dalam surah Al-Hujurat yang bermaksud,

“Wahai manusia, sesungguhnya kami mencipta kamu dari seorang laki-laki dan seorang perempuan dan menjadikan kamu berbangsa-bangsa dan bersuku-suku supaya kamu saling kenal-mengenal.

Sesungguhnya orang yang paling mulia diantara kamu disisi Allah ilah orang yang paling taqwa diantara kamu. Sesungguhnya Allah Maha mengetahui lagi Maha mengenal”.. ayat 13.

Baginda bertitah mengingatkan, jangan terlalu ghairah dalam mengejar agenda tertentu sehingga mengorbankan perpaduan negara dan ada pihak yang mengambil jalan pintas dengan mempolitikan setiap aspek kehidupan.

Tambah baginda lagi, tindakan demikian ianya boleh membawa kepada kehancuran negara dan menyebabkan semua pihak akan kehilangan apa yang ada sekarang.

“Janganlah ada unsur fitnah memfitnah, mencaci dan tuduh menuduh antara satu sama lain serta mencipta cerita-cerita yang tidak benar sehingga menimbulkan perasaan syak wasangka yang akan mencetuskan permusuhan antara rakyat dan akan mengakubatkan kerugian kepada generasi masa depan”, tegas baginda.

Diakhir titah, Tengku Abdullah menyeru rakyat baginda meningkatkan amalan dan ketakwaan di bulan Ramadan.

“Marilah kita bersama-sama mengambil peluang yang ada sebaik-baiknya untuk memperolehi janji-janji Allah Subhanahu Wataala.

“Dalam kesibukan kita melayani urusan-urusan seharian, janganlah diabaikan tanggungjawab menyediakan bekalan dihari kemudian”. titah baginda.

Pada majlis yang sama, Tengku Abdullah mengampuni limpah perkenan menyempurnakan pengurniaan sumbangan peripadi baginda dan sumbangan Majlis Ugama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang (Muip) kepada 150 orang golongan yang memerlukan.

Penerima terdiri daripada golongan asnaf, fakir miskin, warga emas, ibu tunggal, orang kurang upaya yang menerima wang tunai RM300 seorang, barang-barang keperluan harian dan kuih raya.

Turut menerima kurniaan duit raya kira-kira 50 orang kanak-kanak yang hadir bersama ibu bapa masing-masing di majlis tersebut.

Hadir sama, Ahli Mesyuarat Kerajaan Negeri, YB Abdul Rahim Muda, YB Mohd Fakharuddin Mohd Ariff, Yang DiPertua Dewan Undangan Negeri, YB Dato’ Sri Haji Ishak Muhammad, Timbalan Yang DiPertua Muip, YDH Dato’ Sri Haji Wan Abdul Wahid Wan Hassan dan Ahli Parlimen Paya Besar, YB Shahar Abdullah.

Antara tetamu lain, YB Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Sri Muhammad Safian Ismail, YB Pegawai Kewangan Negeri, Dato’ Indera Mohamad Roslan Harun, Ahli Dewan Undangan Negeri Sungai Lembing, YB Dato’ Suhaimi Mohd Shah, Sahibus Samahah Mufti Pahang, Dato’ Sri Dr Haji Abdul Rahman Haji Osman, Pegawai Daerah Kuantan, YH Dato’ Zaliza Zulkepli.