KUANTAN 6 Jun 2018 bersamaan 20 Ramadan 1439H – Pemangku Raja Pahang Tengku Mahkota Tengku Abdullah Al-Haj Ibni Sultan Haji Ahmad Shah Al-Mustain Billah mahu penekanan ke atas aspek agama diberi perhatian yang lebih proaktif bagi menangani krisis nilai dan keruntuhan akhlak pada masa kini. Tengku Abdullah bertitah, penekanan kepada pendidikan agama itu penting kerana ia mampu mengatasi krisis moral yang kritikal membawa impak lebih besar kepada pembangunan modal insan.

“Manusia yang mesti kita bangunkan pada hari ini ialah mereka yang tidak melupakan penciptanya dan tidak terpengaruh dengan keindahan dunia serta menindas orang lain demi kepentingan diri serta ketamakkan harta.

“Ilmuan ingin kita lahirkan ialah mereka yang membela nasib ummah, berbakti kepada nusa dan bangsa serta membawa rahmat kepada sekalian alam,” titahnya pada Majlis Pengurniaan Anugerah Kecemerlangan, Khatam Hafazan al Quran dan Majlis Berbuka Puasa Maahad Tahfiz Negeri Pahang (MTNP) di sini semalam.

Titah ucapan baginda dibacakan oleh Yang Amat Berhormat Menteri Besar, Dato’ Sri Wan Rosdy Wan Ismail. Turut hadir, Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam, Pelajaran dan Kesihatan, Yang Berhormat Dato’ Sri Ustaz Syed Ibrahim Syed Ahmad, Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan, YB Abdul Rahim Muda, Timbalan Yang DiPertua MUIP, YDH Dato’ Haji Wan Abdul Wahid Wan Hassan, Pengurus Besar Yayasan Pahang dan pegawai-pegawai kanan negeri dan daerah Kuantan.

Menurut Tengku Abdullah, Allah berfirman bahawa al-Quran adalah pedoman kepada umat Islam bagi mencapai kejayaan di dunia serta akhirat dan tuntutan nuraninya dibawa kitab suci itu memerdekakan manusia daripada kegelapan jahiliah kepada cahaya keimanan.

“Justeru, pemahaman Islam sebenar dan menyeluruh menjadi asas kekuatan kita, sebagai umat Islam kita harus berusaha memahami al-Quran yang menekankan konsep keimanan dan ketaqwaan hanya kepada Allah serta persaudaraan erat sesama Islam.

“Bilangan penghafaz al-Quran yang bertambah ramai serta kecenderungan ibu bapa menghantar anak-anak mengikuti kelas tahfiz adalah satu petanda baik dan diharapkan ia berterusan,” titahnya.

Dalam pada itu, Tengku Abdullah menyatakan penghargaan terhadap kerajaan negeri dan Yayasan Pahang yang memberikan bantuan berterusan kepada MTNP bermula dari pembangunan infrastruktur sehingga membangunkan pelbagai sistem.

“Saya berbangga apabila dimaklumkan MTNP mendapat keputusan terbaik bagi Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), diploma dan kokurikulum, saya berharap pencapaian ini dapat dikekalkan pada tahun-tahun akan datang,” titahnya.